
‘Arwah Pemurah, Suka Belanja Makan’ – Rakan Aznarawi
Sering belanja rakan dan tidak kedekut semasa berkonvoi, itulah sifat pemurah yang dimiliki pasangan suami isteri yang terlibat dalam nahas kemalangan di Lenggong, Perak baru-baru ini.
Menurut rakan mangsa yang dikenali sebagai Gee, 49, beliau menekankan bahawa pasangan terbabit, iaitu Azranawi Radzi, 42, dan Rosnah Ahmad, 44, mempunyai sifat pemurah dengan mengeluarkan duit untuk belanja rakan-rakannya.
Seperti yang dilaporkan Sinar Harian, Gee menceritakan hal sedemikian sewaktu dia bersama pasangan tersebut berkonvoi ke Betong, Thailand baru-baru ini bersama rakan-rakan lain.
Difahamkan, walaupun berkonvoi bersama rakan hingga jauh ke Thailand, namun arwah dikatakan tidak lupa untuk membelikan barangan buat anak-anak mereka yang sedang menanti di rumah.
Jika orang lain ke Thailand pasti akan membeli cenderahati sebagai kenangan buat diri sendiri, pasangan tersebut sebaliknya lebih mengutamakan keempat-empat anak mereka dahulu.
“Ketika di Betong, mereka belanja kami makan dan tidak banyak beli barang melainkan coklat untuk keempat-empat anak mereka yang tinggal di rumah,” kata Gee kepada Sinar Harian.
Sifat arwah yang pemurah sering disenangi dan disebut-sebut rakan-rakannya, oleh sebab itu kematian mereka memberi impak yang besar kepada rakan di sekelilingnya.
Imbas kembali sewaktu kejadian, Gee mengakui berasa terkejut apabila mendapat tahu kemalangan yang berlaku semasa mereka sedang berkonvoi itu meragut nyawa rakannya depan matanya sendiri.
Menurutnya, dia dan suaminya yang berkonvoi bersama dua motosikal lain termasuk pasangan berkenaan sepatutnya singgah di sebuah restoran terkenal berhampiran.
“Skuter Nawi (Azranawi) berada paling hadapan. Bila lalu saya terpandang kasut berwarna oren sebelum ternampak ros tertiarap di bawah penghadang jalan.
“Suami segera menghampiri Nawi dan sempat mengajar mengucap sebelum dia menghembus nafas terakhir,” katanya.
Difahamkan, sebelum itu mereka berkonvoi ke Betong, Thailand pada Ahad dan pulang semula ke Malaysia pada Isnin sekitar pukul 4 petang.
Sebelum ini media melaporkan kemalangan tersebut berlaku di Kilometer 32.3, Jalan Kuala Kangsar-Gerik, Lenggong sekitar pukul 6 petang kelmarin.
Kemalangan yang berlaku berhampiran Taman Eko Rimba Lata Kekabu itu melibatkan skuter jenis KYMCO yang dinaiki pasangan suami isteri terbabit dengan sebuah kereta Proton Iswara.
Kemalangan itu mengakibatkan Azranawi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya, Rosnah menghembuskan nafas terakhirnya semasa dirawat di Klinik Kesihatan Lenggong.
Jenazah Azranawi Radzi dan Rosnah Ahmad sudah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan pada semalam.
Pasangan suami isteri itu meninggalkan empat anak yang masih bersekolah iaitu Muhaimin Anas, 16; Muhammad Darwisy Imran, 14; Maher Uzair, 9 dan Mifthahul Nurjannah, 7.
BACA: ‘Ingat Rakan Bergurau, Lepas Dia Hantar Gambar Saya Terkedu, Saya Cam Motor Ayah’
Sumber: Sinar Harian