arab saudi larang jual tembakau
Gambar: Saudi Gazette

Arab Saudi Larang Kedai Runcit, Kiosk Jual Produk Tembakau

Iqbal Yasir

Arab Saudi Larang Kedai Runcit, Kiosk Jual Produk Tembakau

RIYADH — Kerajaan Arab Saudi mengumumkan larangan penjualan semua jenis produk tembakau di kedai runcit dan kiosk di seluruh negara, lapor Saudi Gazette.

Menurut kenyataan Kementerian Perbandaran dan Perumahan, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan makanan dan memelihara kesihatan awam.

Larangan tersebut meliputi produk tembakau yang dibungkus dan dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-ubatan Saudi, termasuk rokok biasa, rokok elektronik, shisha serta produk tembakau lain seumpamanya.

Ia merupakan sebahagian daripada kemas kini terhadap syarat operasi kedai runcit, pasar raya dan pasar raya besar, yang turut melibatkan penetapan keluasan minimum premis serta peraturan lokasi.

Kementerian menegaskan bahawa produk tembakau tidak boleh dijual secara terbuka dan perlu disimpan dalam laci tertutup.

Penjualan kepada individu di bawah umur 18 tahun adalah dilarang mengikut Akta Anti-Merokok, dengan penjual berhak meminta bukti umur pembeli.

Kiosk & Kedai Runcit Dikenakan Syarat Ketat

Kiosk atau reruai yang biasanya bersaiz kecil dan beroperasi secara berdiri sendiri, turut tertakluk kepada peraturan ketat termasuk keperluan keluasan minimum dan jarak dari bangunan serta pejalan kaki.

“Bagi kiosk, beberapa keperluan telah ditetapkan, antaranya jarak minimum 6 meter dari pintu masuk bangunan dan jarak minimum untuk pejalan kaki adalah 1.8 meter. Laluan khas untuk perkhidmatan kereta diperlukan bagi kiosk di tanah komersial atau bercampur,” kata kenyataan itu.

Selain itu, pemasangan kiosk di kawasan tempat letak kereta di kompleks komersial hanya dibenarkan selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Bagi kedai runcit, keluasan minimum ditetapkan pada 24 meter persegi, manakala pasar raya memerlukan minimum 100 meter persegi dan pasar raya besar 500 meter persegi.

Pihak kementerian turut menetapkan keperluan untuk kelulusan Jabatan Pertahanan Awam serta pendaftaran perniagaan yang sah sebelum lesen dikeluarkan.

Selain itu, kementerian turut membenarkan beberapa aktiviti tambahan untuk pasar raya dan pasar raya besar seperti penjualan kacang, rempah tidak dibungkus, sayur-sayuran, buah-buahan, kurma, daging segar, makanan laut serta produk tembakau.

Namun, kedai runcit dikecualikan daripada aktiviti ini. Operasi farmasi, restoran dan telefon bimbit pula hanya dibenarkan di pasar raya besar.

Kementerian turut menetapkan penggunaan warna dan logo yang seragam dalam penjenamaan kedai dengan hanya empat warna dibenarkan iaitu kuning dan tiga tona hijau

“Pindaan ini bertujuan mempromosi kesihatan awam, meningkatkan keselamatan makanan, mengurangkan pencemaran visual, meminimumkan pelanggaran alam sekitar dan struktur serta memastikan kelancaran pergerakan pembeli.

“Garis panduan terkini ini juga merangkumi syarat berkaitan lokasi dan keluasan, penyimpanan, pameran serta penyediaan produk makanan, papan tanda komersial, dan keperluan pekerja dalam sektor berkenaan.

“Ia turut merangkumi peralatan asas untuk kedai runcit dan pasar raya, keperluan pengurusan keselamatan makanan, pengagihan aktiviti tambahan dalam premis, peraturan pemaparan barangan dan sistem penyejukan serta pembekuan,” maklum kenyataan itu.

Sumber: Saudi Gazette

BACA: Israel Lancar Serangan Udara Ke Atas Ibu Pejabat Tentera Syria – TV Kerajaan