Kerajaan Arab Saudi mengesahkan bahawa ibadah haji yang bakal berlangsung pada Julai ini hanya dibenarkan untuk rakyat dan penduduk tempatan sahaja.
Hal ini demikian kerana situasi pandemik COVID-19 yang belum mengizinkan, justeru kouta jemaah haji yang dibuka hanyalah 60,000 orang.
Menteri kesihatannya memaklumkan, prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih ketat diperkenalkan, antaranya jemaah mestilah sihat dan bebas daripada sebarang penyakit kronik.
Selain itu, kebenaran hanya akan diberikan kepada jemaah berusia lingkungan 18 hingga 65 tahun yang sudah diberi suntikan vaksin sepenuhnya, selaras dengan program vaksinasi yang dilaksanakan kerajaan.
Dalam masa sama, kebenaran juga diberikan kepada jemaah yang telah menerima suntikan vaksin dos pertama dalam masa 14 hari sebelum ibadah haji bermula, atau mereka yang divaksinasi selepas sembuh daripada jangkitan.
Semua SOP baharu ini dikuatkuasakan bagi memastikan keadaan terkawal, di samping sebagai usaha kerajaan mengurangkan penularan wabak berkenaan.
Limitasi kouta ibadah haji yang dilaksanakan Arab Saudi ini sekaligus ‘menutup’ pintu buat negara-negara lain yang ingin menghantar jemaah haji mereka termasuk Malaysia.
Sumber: Arab News / Haramain