SEOUL, 24 Feb (Bernama) — Apple Inc. akan merasmikan outlet keduanya di Korea Selatan pada Jumaat sekali gus melebarkan sayapnya di negara ini sejak kedai pertamanya dibuka pada 2018, lapor Agensi Berita Yonhap.
Outlet terbaharu itu terletak di IFC Mall di Yeouido, barat Seoul, kata syarikat gergasi teknologi Amerika Syarikat itu pada Rabu.
Langkah Apple itu untuk meneroka lebih banyak pasaran tempatan yang kini dikuasai syarikat teknologi gergasi Samsung Electronics Co.
Menurut penyelidik pasaran, Counterpoint, tahun ini Apple dijangka menyumbang 22 peratus daripada pasaran tempatan telefon pintar, naik satu mata peratusan berbanding tahun sebelumnya, berikutan penjualan kukuh telefon pintar 5G pertamanya, iPhone 12.
Samsung pula dianggarkan menguasai 65 peratus nilai pasaran tempatan,
Di peringkat global, Apple mengatasi Samsung sebagai vendor telefon pintar utama pada suku keempat tahun lalu, menurut syarikat penyelidikan dan perundingan, Gartner Inc.
— BERNAMA