KUALA TERENGGANU, 16 Nov – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu bertindak mengusir tiga buah bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara Sabtu lepas.
Pengarahnya, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kesemua bot tersebut dikesan pesawat udara Bombadier CL415 pada tiga posisi berbeza iaitu pada jarak 137 hingga 144 batu nautika dari Kuala Terengganu, sebelum memaklumkannya kepada Kapal Maritim (KM) Langkawi yang sedang melaksanakan Op Kuda Laut.
“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot nelayan berkenaan cuba melarikan diri dengan memecut laju ke arah perairan sempadan Malaysia-Vietnam ketika diarahkan berhenti untuk pemeriksaan sebelum diusir keluar oleh pihak penguat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum diusir keluar dari perairan negara, anggota APMM telah merampas pukat bot berkenaan manakala bekalan air dan makanan telah dibuang ke laut bagi memastikan nelayan tersebut tidak berada di laut untuk melakukan aktiviti menangkap ikan dan terus kembali ke negara asal mereka.
Menurut Muhammad Suffi, sepanjang tahun ini APMM Terengganu telah merekodkan sebanyak 94 pengusiran ke atas bot nelayan asing melibatkan seramai 968 orang awak-awak dan tekong.
“Tindakan pengusiran ini dilaksanakan bagi mengekang pewujudan kluster baharu COVID-19 yang berpunca daripada pencerobohan oleh bot nelayan asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke perairan negara,” katanya.
— BERNAMA