APMM Rampas 537kg Ganja Mampat Bernilai RM1.6 Juta Di Perairan Langkawi

Edayu

LANGKAWI, 3 Sept- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Kedah dan Perlis mengesan taktik terbaharu sindiket penyeludupan dadah, yang mencampakkan barang larangan itu di kawasan perairan sebelum sebuah bot lagi datang untuk mengambilnya.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata taktik itu dikesan hasil beberapa siri tangkapan yang dilakukan, dan terbaharu pihaknya berjaya merampas 537 kg ketulan ganja mampat bernilai kira-kira RM1.6 juta yang ditemukan terapung di kedudukan 6.7 batu nautika tenggara Pulau Chorong, dekat sini, Isnin lepas.

Beliau berkata ia merupakan rampasan terbesar tahun ini, dilakukan dengan kerjasama komuniti nelayan tempatan menerusi Ops Eagle Eye pada kira-kira pukul 9.30 pagi.

“Ia juga hasil risikan selepas mendapat maklumat ada penghantaran dadah akan dilakukan antara 30 Ogos dan 2 September. Sebaik menerima laporan, sebuah bot Maritim telah diarahkan ke lokasi, sebelum menemukan ganja mampat itu dalam keadaan terapung,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Bukit Malut, di sini hari ini.

“Siasatan mendapati dadah yang dipercayai dibawa dari negara jiran itu cuba diseludup ke Pulau Pinang. Kami percaya rampasan ini akan memberi kesan kepada rangkaian sindiket penyeludupan dadah terlibat,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) AKta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata setakat Ogos tahun ini, Maritim Kedah dan Perlis berjaya merampas dadah bernilai RM3.1 juta yang terdiri daripada 5kg syabu dan 767kg ganja termasuk rampasan terbaharu.

— BERNAMA