Gambar: APMM

APMM Patahkan Cubaan Seludup Keluar Dadah Syabu, Ekstasi Bernilai RM3.33 Juta

Nur Adnin

PELABUHAN KLANG, 31 Mei (Bernama) — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis syabu dan ekstasi seberat 56 kilogram (kg) bernilai RM3.33 juta di kedudukan 3.4 nautika barat daya, Sungai Kapar Kecil, Pulau Ketam, malam tadi.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM Laksamana Madya Kamaruszaman Abu Hassan berkata berikutan itu pihaknya turut menahan dua warga tempatan iaitu seorang lelaki Orang Asli berusia 70 tahun dan anak perempuannya berumur 40 tahun serta seorang lelaki warga Indonesia, 24 tahun.

Kamaruszaman berkata penangkapan ketiga-tiga suspek itu dijalankan susulan rondaan Op Belangkas di perairan Selangor dan pihaknya telah mengesan bot gentian kaca (fiber) dinaiki semua suspek sebelum mengarahkan mereka untuk berhenti.

“Salah seorang anggota telah melompat ke dalam bot suspek untuk melakukan pemeriksaan namun warga emas yang merupakan tekong bot berkenaan tidak memberikan kerjasama dan terus memecut botnya.

“Kami melepaskan beberapa das tembakan ke udara untuk memberhentikan bot itu ekoran suspek cuba merempuh bot APMM. Berlaku pelanggaran antara bot suspek dan bot APMM selepas kami berjaya memintas mereka yang menyebabkan bot penjenayah tenggelam di lokasi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Susulan pelanggaran itu Kamaruszaman berkata pihaknya menemukan empat guni dipercayai mengandungi dadah jenis syabu seberat 30kg dan pil ekstasi seberat 25kg yang terapung dan dadah itu dipercayai dalam perjalanan dibawa keluar menuju ke sempadan Indonesia.

Bagaimanapun Kamaruszaman memaklumkan suspek warga emas itu didapati telah meninggal dunia ketika dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah pada 12.30 malam tadi dan mayatnya dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Kami turut ke rumah suspek dipandu anak perempuannya sekitar 5 pagi tadi dan menjumpai 1kg dadah jenis syabu di bilik suspek. Kita juga masih menyiasat di mana suspek mendapat bekalan dadah tersebut.

“Kesemua suspek direman selama lima hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sumber: BERNAMA