PASIR PUTEH, 23 Sept (Bernama) — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah melupus dan menenggelamkan sebanyak 306 bot nelayan asing bernilai RM459 juta yang dilucut hak oleh mahkamah kerana menangkap ikan secara haram di perairan negara sejak 2007.
Timbalan Ketua Pegarah (Operasi) APMM Laksamana Madya Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata sebilangan besar tangkapan itu membabitkan nelayan warga Vietnam yang menceroboh perairan negara di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Bot itu dijadikan tukun tiruan untuk pembiakan ikan bagi memberi manfaat kepada nelayan pesisir pantai di negeri-negeri berkenaan,” katanya kepada pemberita pada program Pelupusan Tiga Bot Nelayan Asing Vietnam di Perairan Pulau Susu Dara kira-kira 10 batu nautika dari Muara Tok Bali di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Maritim Negeri Pahang Laksamana Pertama Maritim Amran Daud, Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli dan Pengarah Maritim Kelantan Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman.
Pada program tersebut tiga bot bernilai RM4.5 juta yang ditenggelamkan itu adalah hasil operasi APMM Pahang atas kesalahan menangkap ikan secara haram di perairan negeri tersebut pada 2019.
Mengulas lanjut, Kamaruszaman berkata selain tiga bot itu, APMM Pahang akan menenggelamkan tiga lagi bot di perairan Pulau Tioman selepas mendapat keputusan pelucutan hak daripada mahkamah.
“Proses penenggelaman mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) bagi memastikan kesesuaian lokasi serta tidak menjejaskan biodiversiti marin.
“Kawasan terbabit akan dijadikan lokasi terbaharu ekosistem marin dan sebagai peranti pemuliharaan biodiversiti marin. Ia juga akan menjadi tempat perlindungan dan sumber makanan hidupan laut,” katanya.
Sumber: BERNAMA