ALOR SETAR, 30 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 1.21 tan daun ketum di Kuala Sanglang, yang bersempadan dengan Perlis malam tadi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata daun ketum yang diisi di dalam 121 beg plastik hitam itu dijumpai berhampiran muara Kuala Sanglang pada pukul 11.35 malam.
“Hasil risikan selama seminggu, kita telah mengesan aktiviti cubaan membawa keluar daun ketum tersebut dengan menggunakan jalan laut. Kita telah menjalankan Ops Khas dengan menggunakan sebuah bot peronda APMM ke lokasi berkenaan.
Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, penyeludup bertindak melarikan diri menggunakan jalan darat dan meninggalkan kesemua bungkusan yang mengandungi daun ketum berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahmad Faizal berkata daun ketum seberat 1.21 tan itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran, Thailand dengan menggunakan bot sebagai pengangkutan untuk membawa kesemua daun ketum itu.
“Harga pasaran daun ketum di Thailand lebih tinggi dan boleh mencecah RM80 bagi sekilogram berbanding pasaran tempatan iaitu sekitar RM40 sahaja.
Harga pasaran yang tinggi ini merancakkan lagi aktiviti penyeludupan keluar daun ketum ke negara jiran. Dianggarkan daun ketum yang dirampas ini mampu mengaut keuntungan bernilai RM96,800 sekiranya dijual di pasaran Thailand,” katanya.
Beliau berkata kesemua hasil rampasan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“APMM Zon Maritim Kuala Kedah sentiasa mengalu-alukan aduan, sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut yang boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.
— BERNAMA