Sebentar tadi, negara dikejutkan dengan penarikan semula pingat emas kedua negara di Paralimpik Tokyo 2020 sumbangan Ziyad Zolkefli.
Ziyad diprotes atlet Ukrain yang mengatakan atlet itu lambat memasuki Call Room untuk acara akhir lontar peluru F20.
Menurut Peraturan 4.4 dalam Peraturan Teknikal Paralimpik, atlet yang diprotes lewat memasuki Call Room akan dikategorikan sebagai Did Not Start (DNS).
Pun begitu, atlet yang disabitkan masih dibenarkan bertanding di bawah protes, mengambil kira beberapa faktor dalam peraturan yang sama.
Antara faktor yang diberikan kelonggaran terhadap kelewatan memasuki Call Room ini termasuk masalah pengangkutan atau ralat dalam penjadualan.
Atlet yang terlewat memasuki Call Room sepatutnya tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam pertandingan sama sekali. Dalam erti kata lain, atlet tak sepatutnya memulakan saingan jika dilabel sebagai DNS.

Sumber: World Athletic Rules
Berbeza dengan situasi yang dihadapi Ziyad, jaguh lontar peluru negara ini telahpun memulakan saingan dan telah muncul juara di papan keputusan acara sebentar tadi.
Ziyad dilaporkan terlewat dua minit memasuki Call Room sebelum saingan akhir lontar peluru lelaki F20 dimulai.
Setakat ini, masih belum ada kata putus berkait pembatalan penyertaan Ziyad. Namun sekretariat Malaysia telah mengemukakan protes secara rasmi kepada penganjur Paralimpik Tokyo.
Sumber: Astro Arena, Paralympics