belanjawan 2026
Gambar: Siakap Keli

Apa Rakyat Mahu Tahun 2026, Ni Perkara Paling Netizen Nak ‘Sumbat’ Dalam Belanjawan

Hannah

Apa Rakyat Mahu Tahun 2026, Ni Perkara Paling Netizen Nak ‘Sumbat’ Dalam Belanjawan

Bila dah hujung tahun ni, faham-faham sajalah. Bukan pemimpin kita saja yang sibuk ‘brainstorm’ untuk hala tuju negara, rakyat pun sebenarnya ada banyak harapan yang nak disuarakan.

Umum diketahui, Belanjawan 2026 dijadualkan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober depan.

Setiap kali menjelang pembentangan belanjawan, pelbagai suara dan cadangan mula kedengaran. Masing-masing ada pendapat sendiri, kalau boleh semua nak suara mereka didengar dalam belanjawan.

Berdasarkan tinjauan Siakap Keli sendiri, macam-macam idea muncul daripada rakyat. Ada yang nak harga barang turun, ada pula yang nak bantuan rakyat ditambah.

Pendidikan anak-anak kita jadi suara terkuat netizen

Tapi, dalam banyak perkara yang netizen bincangkan atau cadangkan untuk belanjawan, isu pendidikan muncul sebagai perkara paling kerap disebut dan paling mendapat perhatian.

Tak pelik pun bila isu pendidikan naik jadi topik utama, sebab inilah tunjang masa depan anak-anak kita. Mana tidaknya, ramai ibu bapa gelisah bila kos belajar makin tinggi, gajet sekolah kena ada, dan ada juga murid yang masih ketinggalan dalam pelajaran.

Jadi, bila ditanya apa nak ‘sumbat’ dalam belanjawan, ramai netizen sepakat nak bagi lebih perhatian pada pendidikan anak-anak Malaysia.

Aneleh Liamsi dalam komentarnya mengharapkan agar kerajaan memperkukuhkan kemudahan dan fasiliti pendidikan anak-anak istimewa.

Aviniysh Magandaran pula menyeru agar kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan dan mengkaji semula silibus selain mewujudkan subjek pilihan seperti bahasa ketiga, AI, kewangan dan programming di sekolah.

Sementara itu, Dean Ahmad mencadangkan agar kerajaan memberi bantuan makanan RMT kepada semua murid dari keluarga B40.

belanjawan 2026

Hakikatnya, sebahagian besar apa yang rakyat harapkan ini sebenarnya sudahpun diberi perhatian dalam Belanjawan 2025.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bahkan terima peruntukan tertinggi dalam belanjawan negara yang dibentangkan pada Oktober tahun lalu itu. Beberapa inisiatif besar juga telah dilaksanakan bagi memastikan akses pendidikan lebih menyeluruh, adil dan mesra rakyat.

Bantuan awal persekolahan (BAP) – 5.2 juta penerima

Antara inisiatif utama ialah Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang diberikan secara one-off bagi meringankan beban perbelanjaan awal tahun.

Semua murid dari Tahun 1 hingga Tingkatan 6 menerima bantuan sebanyak RM150 seorang.

Untuk program ini sahaja, kerajaan memperuntukkan RM791 juta, dan setakat Jun 2025, seramai 5.2 juta murid telah menerima manfaat tersebut.

KPM kerjasama dengan badan korporat, buat Sekolah Angkat bantu pelajar luar bandar, pedalaman

belanjawan 2026
Gambar: TM

Sebagai memenuhi harapan rakyat terhadap pendidikan, kerajaan melalui inisiatif Sekolah Angkat Malaysia MADANI turut melibatkan kerjasama syarikat korporat seperti Telekom Malaysia (TM).

Setakat ini, TM melalui Yayasan TM telah mengambil alih sebanyak 35 sekolah angkat di seluruh negara, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Fokus utama inisiatif ini adalah TM Future Skills (TMFS), program yang direka untuk meningkatkan kemahiran digital pelajar daripada keluarga B40.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk hub digital dengan kelengkapan seperti PocketLab, kit robotik, pencetak 3D, dron, tablet serta kandungan pembelajaran digital.

Menariknya, kurikulum TMFS bagi tahun 2025 telah dipertingkatkan dengan elemen kecerdasan buatan (AI) dan pengaturcaraan (coding), selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 dan hasrat melahirkan bakat digital masa depan Malaysia.

Setakat ini, program ini telah memberi manfaat kepada lebih 10,000 pelajar dan 1,000 guru. Malah, dianggarkan seramai 65,000 pelajar seluruh negara bakal menerima faedah secara berperingkat melalui rangkaian sekolah angkat ini.

Selain itu, pelajar Tingkatan 4 dan 5 yang cemerlang turut layak memohon biasiswa Young Leaders daripada Yayasan TM, yang membuka peluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan pembiayaan penuh.

Program Anak Kita – Lebih 80,000 pelajar & lebih 2,000 sekolah terima manfaat

belanjawan 2026
Gambar: Program Anak Kita/FB

Sebagai usaha memenuhi hasrat rakyat untuk memastikan setiap anak mendapat peluang pendidikan yang adil, kerajaan memperkenalkan Program Anak Kita (PAK) menerusi Belanjawan 2025 dengan peruntukan khusus sebanyak RM30 juta.

Program ini diterajui oleh Yayasan Hasanah di bawah Khazanah Nasional bersama Unit Pantau MADANI, dengan pelaksanaan melalui kerjasama strategik KPM dan Kementerian Kewangan (MOF).

Turut serta dalam inisiatif ini ialah tiga universiti awam serta tujuh organisasi masyarakat sivil yang berganding bahu menjayakan pelaksanaan di lapangan.

Dilancarkan pada 27 September 2024, PAK dibahagikan kepada tiga komponen utama:

  • Program 3M – intervensi asas membaca, menulis dan mengira di sekolah rendah.

  • Program SPM – sokongan khusus kepada calon SPM di sekolah menengah.

  • Program Murid Cicir – membantu murid sekolah rendah dan menengah yang berisiko tercicir daripada pendidikan.

Secara keseluruhan, seramai 83,371 murid daripada 2,500 sekolah di seluruh negara menerima manfaat melalui program ini, lapor Unit Pantau MADANI.

Antara bukti nyata keberkesanan program ini adalah apabila 15 peratus murid Pemulihan telah berjaya dibantu menerusi Program 3M. Hasilkan, sebanyak 7,973 daripada 53,252 murid kembali ke aliran arus perdana setakat Mac 2025.

Contohnya, 96.55 peratus murid kuasai kemahiran asas 3M di SJK(C) Tanjung Sepat dan SK Sungai Kelambu.

Selain itu, Program Pecutan SPM 2024 telah berjaya mencapai 89 peratus (8,855 daripada 9,906) murid yang lulus SPM dan mendapat sijil, tambah Unit Pantau MADANI.

Di Pulau Pinang sahaja, misalnya, 460 calon SPM 2024 dari 11 sekolah mencatatkan prestasi cemerlang hasil sokongan berterusan sepanjang tahun lalu.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, di negeri itu sahaja, 99 peratus pelajar hadir menduduki SPM, manakala 93 peratus berjaya memperoleh sijil, khususnya dalam subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah.

belanjawan 2026
Gambar: BERNAMA

Setakat pertengahan 2025, pelaksanaan PAK di Pulau Pinang yang melibatkan 1,280 murid dari 64 sekolah turut menunjukkan perkembangan positif. Antaranya:

  • 71 peratus murid meningkat gred dalam Bahasa Melayu

  • 44 peratus murid mencatat peningkatan dalam Sejarah

  • 13 peratus murid berjaya memperbaiki gred Matematik, salah satu subjek yang paling mencabar

Untuk info, sehingga kini PAK masih dalam pelaksanaan dan dijangka terus memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar di seluruh negara secara berperingkat. Ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan tiada anak tercicir daripada pendidikan asas.

Pendidikan: Harapan rakyat, masa depan negara

Secara keseluruhan, jelas bahawa suara rakyat tentang pendidikan adalah satu keperluan mendesak yang kerajaan sendiri turut akui.

Dengan pelbagai inisiatif yang sudah mula dijalankan melalui Belanjawan 2025, kita boleh lihat bagaimana harapan rakyat diterjemah kepada tindakan nyata.

Kini, tumpuan beralih kepada Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan tidak lama lagi. Diharapkan, pendidikan akan sentiasa kekal sebagai tunjang utama dalam memastikan masa depan anak-anak Malaysia lebih cerah dan terjamin.