
Tangisan hiba mangsa-mangsa banjir yang masih trauma diulit tragedi pilu kehilangan harta benda bulan lepas masih teresak-esak hingga ke hari ini.
Kehibaan mereka turut tiba ke pengetahuan pendakwah dermawan yang cukup terkenal memiliki rasa ihsan yang tinggi, Ebit Lew.
Menurut Ebit, beliau menjadi ‘saksi’ kepada tangisan mangsa banjir di Mentakab, Pahang yang disantuninya baru-baru ini apabila mereka terkenangkan empat rumah hanyut.
Mangsa-mangsa banjir itu kini terpaksa berteduh di dalam khemah buat sementara waktu.
“Kami bantu bina 4 biji buah rumah dan akan bina satu tangki air untuk air bersih untuk kampung. Berat ujian mereka. Tadi tak berhenti mereka ucap terima kasih.
“Ada yang menangis. Ada yang dah tak boleh menangis. Tak terbayang ada terpaksa duduk dalam khemah dari hari tu. Katanya apa lagi kami mampu ustaz. Terima sahajalah takdir ini,” katanya di Facebook hari ini.

Difahamkan, terdapat 15 buah keluarga yang tinggal di kawasan tersebut. Kerja-kerja santuni dan bantuan dilakukannya turut disertai sekumpulan anak muda dari ibu kota yang berhati mulia.
Menurut Ebit, mereka turut membantu membina semula jambatan yang rosak lagi berbahaya untuk dilalui penduduk setempat.
“Sedih tengok jambatan sedang dibetulkan. Lagi sedih tiada air paip. Mereka ada telaga kecil di rumah tapi airnya masam. Dah 15 tahun guna.
“Berbincang bersama insyaAllah kami akan bina air perigi dan salurkan air untuk kegunaan 15 buah keluarga ini. Semuanya penduduk tempatan. Masa banjir satu pasangan ni mendapat cahaya mata.
“Sempat dibawa ke hospital. Hampir semua rumah tenggelam banjir. Empat buah rumah terus hanyut. Tak tinggal apa-apa. Tadi berbincang terus kita bantu untuk belikan segala keperluan untuk bina rumah.
“Doakan ye. Semoga dimudahkan, dibantu dan diterima Allah,” tambahnya.
**untuk lihat gambar penuh boleh rujuk ke FB Ebit Lew.
Sumber: Ebit Lew