
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memanfaatkan perubahan kerajaan dengan menarik pelabur luar sekali gus memberikan imej yang baik kepada Malaysia.
“Perubahan kerajaan ini memberikan suatu imej yang sangat baik, belum pernah dalam sejarah dalam masa singkat pengiktirafan oleh dunia Arab, Amerika, China, Eropah, India dan Asia.
“Dan ini, saya akan manfaatkan mereka datang untuk melabur di sini,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sementara 2023 dan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Ahli Parlimen Tambun itu turut mengingatkan kepada ahli Dewan Rakyat untuk menjaga etika dan kemuliaan dewan.
“Dalam kesempatan yang sama, ingin saya tegaskan bahawa etika dan susila di dalam Dewan Rakyat sebagai institusi pembuat kebijakan mesti dijaga dengan baik oleh setiap Ahli Parlimen.
“Kita tahu sidang parlimen ini ditonton, kita boleh berbeza pendapat, bertengkar tetapi harus jaga kemuliaan dewan ini dan tidak keterlaluan kerana ini akan tertawakan oleh rakyat dan melihat seluruh dewan ini menjadi gelanggang, seperti mana yang disebut dalam sosial media, sarkas,” tambahnya.
Sebelum ini, Anwar berjaya membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri ke-10 apabila Usul Percaya terhadapnya diluluskan pada hari pertama Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin lalu.
“Kerajaan hari ini telah membawa satu Usul Percaya kepada Perdana Menteri dan berjaya membuktikan keabsahan dukungan majoriti di Dewan Rakyat.
“Terima kasih dan penghargaan atas kepercayaan dan sokongan yang jelas dan tegas.
“Kini masa untuk bekerja dan menjelmakan perubahan yang didambakan rakyat,” memetik satu kenyataan di laman Facebook beliau.
Sumber: Anwar Ibrahim/Twitter