anwar hubungi pm thailand
Kredit: Anwar Ibrahim
Tiada Kategori

Anwar Hubungi PM Thailand & Kemboja, “Mereka Beri Maklum Balas Positif”

Sofea

Anwar Hubungi PM Thailand & Kemboja, “Mereka Beri Maklum Balas Positif”

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau telah bercakap dengan rakan sejawat dari Kemboja, Hun Manet dan Thailand, Anutin Charnvirakul menerusi telefon untuk membincangkan perkembangan usaha damai susulan insiden terkini di sempadan kedua-dua negara.

Menerusi kenyataan di Facebook, Anwar berkata kedua-dua Perdana Menteri itu memberikan maklum balas positif serta menegaskan komitmen untuk mencari penyelesaian damai, seterusnya mematuhi perkara yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Damai Kuala Lumpur.

BACA: Perjanjian Damai KL: PM Anwar Main Peranan Penting, Yakinkan Kemboja & Thailand – Trump

“Saya menegaskan pendirian Malaysia untuk melihat persahabatan dan gencatan senjata antara kedua-dua negara diperkukuh selaras persefahaman yang termeterai di Kuala Lumpur hujung bulan lalu.

“Saya juga menyatakan kesediaan Malaysia untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam merintis jalan damai ini.

“Kedua-dua Perdana Menteri turut menyampaikan penghargaan atas pendirian Malaysia serta peranan yang kita galas, bukan sahaja sebagai Pengerusi ASEAN tetapi juga selaku sahabat dan jiran serantau yang mendambakan keamanan,” katanya.

Beliau juga berharap agar kedua-dua negara terus menunjukkan kesungguhan dan keberanian untuk mengembalikan kestabilan di perbatasan demi keamanan yang berkekalan di rantau ini, dan demi keselamatan rakyat kedua-dua negara.

Sumber: Anwar Ibrahim