Anthony Loke Alami Kesukaran Bernafas Ketika Menjawab Soalan
KUALA LUMPUR — Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilihat mengalami kesukaran bernafas semasa menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Subang Wong Chen ketika Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga yang bersidang di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam klip itu, Loke kelihat tercungap-cungap ketika berhujah sebelum mengambil sebotol air dipercayai air mineral untuk diminum.
Beliau juga cuba untuk meneruskan hujahannya namun disarankan oleh beberapa Ahli Parlimen untuk bertenang seketika.
“Relax dulu Yang Berhormat (YB), YB kena pergi periksa dekat hospital tu,” ucap Ahli Parlimen Tampin, Dato Mohd Isam Mohd Isa.
Loke dilihat tidak selesa dan percakapannya juga tersekat-sekat ketika sesi tersebut.
Sesi itu kemudiannya diambil alih oleh Timbalan Menteri Hasbi Habibollah, di mana beliau meneruskan menjawab apa yang ditinggalkan oleh Loke.
Akta Industri Pelancongan 1992 akan diperkasa
Dalam pada itu, Akta Industri Pelancongan 1992 akan diperkasa bagi memastikan tahap penguatkuasaan lebih baik selari dengan usaha mengekang kes penipuan pakej pelancongan termasuk pakej umrah, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini, lapor BERNAMA.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata penambahbaikan akta itu perlu memandangkan ia telah lama tidak diperbaharui selain membantu pengawasan kes penipuan pakej pelancongan.
“Untuk (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melakukan pengawasan setiap masa ia bergantung kepada aduan yang kita diterima, itu yang pertama.
“Keduanya, dari sudut kekangan pegawai penguat kuasa dari kementerian (MOTAC) yang tidak mungkin dapat kita melihat setiap kejadian tu secara tuntas,” katanya pada sesi soal jawab.
Beliau menjawab soalan tambahan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai usaha kerajaan dalam membantu mangsa penipuan pakej pelancongan serta tindakan susulan terhadap syarikat pengendali yang terbabit dalam kes penipuan pakej pelancongan.
Sumber: YouTube Parlimen Malaysia