Kredit: Bernama

Angin Kencang, Ombak Besar, Hujan Berterusan Di Pantai Timur, Sabah & Sarawak Sehingga 27 Dis

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan cuaca signifikan di negeri-negeri Pantai Timur, Sabah dan Sarawak serta perairan Laut China Selatan bermula 23 Disember sehingga 27 Disember.

Ramalan ini dibuat berdasarkan analisis model-model cuaca, fenonema luruan monsun yang sedang berlaku kini dijangka berlarutan sehingga 27 Disember 2022.

Ia juga memiliki potensi untuk membawa fenomena angin kencang, ombak besar serta hujan secara berterusan di negeri-negeri Pantai Timur, Semenanjung Malaysia serta wilayah-wilayah di kepulauan Borneo.

Bukan itu sahaja, perairan Laut China Selatan juga dijangkakan bakal mengalami cuaca yang serupa pada masa tersebut.

Selain itu, satu sistem cuaca bertekanan rendah diramal mula terbentuk di Laut Sulu pada 24 Disember 2022 dan bakal bergerak menuju ke Sabah. Hal ini membolehkan peningkatan kekerapan hujan di wilayah tersebut.

Oleh itu, MetMalaysia telah membuat kemas kini terhadap permakluman Amaran Hujan Berterusan, yang mana melibatkan beberapa negeri.

Amaran Hujan Berterusan di Pahang dan Johor berkuat kuasa sehingga 23 Disember 2022 dan pula Sarawak berkuat kuasa pada 23 hingga 24 Disember 2022. Di Sabah, ramalan berkenaan berkuat kuasa bermula 23 hingga 26 Disember 2022.

Bukan itu sahaja, Amaran Angin Kencang Dan Laut Bergelora turut dikeluarkan bagi kawasan perairan Laut China Selatan dan berkuat kuasa sehingga 27 Disember 2022.

Pada akhir kenyataannya, pihak MetMalaysia meminta orang awam adalah untuk sentiasa mengikuti perkembangan semasa menerusi laman web pada pautan www.met.gov.my atau media sosial rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca.

BACA: Banjir: Tiada Keperluan Isytihar Darurat Iklim Ketika Ini – Saifuddin

Sumber: @metmalaysia via Twitter