
Anggota Rela Maut: 31 Ogos Tarikh Yang Dinanti-nantikan Abah
SEREMBAN, 1 Sept (Bernama) — Tanggal 31 Ogos merupakan tarikh yang sentiasa dinanti-nantikan Allahyarham Muhammad Noh Muhammad Isa, 53, setiap tahun kerana mahu menyertai perbarisan bersempena dengan Hari Kebangsaan bersama-sama pasukannya dalam Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Perkara itu dikongsikan anak lelaki kepada Ketua Perbarisan Kontinjen RELA Negeri Sembilan itu yang meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai perbarisan Hari Kebangsaan ke-66 di Dataran Majlis Bandaraya Seremban di sini semalam.
Ahmad Harraz, 20, yang turut bersama-sama berada dalam kalangan 45 anggota kontinjen ketika perarakan semalam berkata ayahnya sentiasa melakukan yang terbaik untuk pasukan dan paling bersemangat memulakan latihan bagi sambutan berkenaan.
“Abah memang sangat teruja dan gembira menunggu ketibaan 31 Ogos yang merupakan tarikh yang sentiasa ditunggu-tunggu untuk dia ‘beraksi’, dia mahu lihat RELA ini disegani orang ramai, sebab ia bukan macam badan beruniform lain seperti polis atau bomba yang sangat hebat di mata orang ramai.
Allahyarham Muhammad Noh dilaporkan jatuh dan tidak sedarkan diri kira-kira 10 pagi semalam, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini dan bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan masalah jantung.
Menceritakan kejadian semalam, Ahmad Harraz berkata pada pagi sebelum perbarisan, ayahnya itu tidak menunjukkan sebarang tanda tidak sihat atau kepenatan, malah menyangkakan Muhammad Noh hanya pengsan ketika jatuh pada acara berkenaan.
“Saya teruskan juga kerana perbarisan masih berlangsung. Saya ingat dia pitam biasa. Bila dah habis serta berada di padang, saya yang sudah tidak sedap hati segera mencari maklumat mengenai abah dan segera ke hospital, kemudian doktor maklumkan abah dah tiada,” katanya.
Dalam pada itu, isteri Allahyarham, Maniliza Abdul Hamid, 47, berkata pada malam sebelum sambutan, suaminya ada mengadu kepenatan tapi bertegas mahu meneruskan tugasnya berikutan dia merupakan ketua untuk perbarisan itu.
Terdahulu, Muhammad Faiz berkata Allahyarham ialah pejuang dan wira dalam RELA, selain pemergiannya akan dirasai keseluruhan pasukan berikutan Muhammad Noh merupakan seorang yang suka membantu orang lain terutama dalam kawad kaki.
BACA: Guna Dua Bahan Mudah, Ini Cara Matikan Rumput Tanpa Guna Racun
Sumber: Bernama