Mayat Warga Emas
Sumber: BERNAMA

Anggota Polis Tidak Hadir ‘Roll Coll’ Ditemui Meninggal Dunia Di Kuarters

Iqbal Yasir

Anggota Polis Tidak Hadir ‘Roll Coll’ Ditemui Meninggal Dunia Di Kuarters

SUNGAI PETANI — Seorang pegawai polis berpangkat sarjan sokongan, 46, ditemukan tidak bernyawa dalam kuarters pondok polis Sungai Lalang semalam, lapor Sinar Harian.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail, misteri mangsa tidak hadir sewaktu pemeriksaan semak keberadaan dijalankan membawa kepada penemuan mayatnya.

Difahamkan, mangsa berstatus duda itu mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan tinggal berseorangan.

“Kejadian disedari apabila mangsa tidak hadir ‘roll call’ dengan ketua polis balai yang dilakukan kira-kira jam 3 petang.

“Bagaimanapun, masa kematian masih belum dapat ditentukan, namun berdasarkan pemerhatian awal, mangsa dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam,” ujarnya sewaktu dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Wan Azharudin memberitahu mangsa telah berkhidmat selama 23 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) disahkan meninggal dunia sewaktu ditemui.

“Namun, pemeriksaan mendapati, tiada sebarang unsur jenayah dikesan setakat ini.

“Punca kematian masih dalam siasatan,” maklumnya lagi.

Mayat mangsa kini telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi proses bedah siasat.

BACA JUGA: Kanak-Kanak Orang Asli Dilaporkan Hilang Ditemui Meninggal Dunia

Polis bantuan Maut

Pada Ogos 2023, SK melaporkan seorang anggota polis bantuan ditemui maut dengan kesan satu das tembakan pada bahagian kepala dalam satu kejadian di ruang rehat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Mangsa, 42, ditemui berlumuran darah oleh rakan sekerjanya sekitar jam 9.30 pagi Selasa.

Ketika ditemui dalam keadaan terlantar di kerusi rehat, mangsa mengalami pendarahan di bahagian kepala.

Berikutan itu, sepasukan anggota polis ditugaskan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat. Difahamkan, mangsa masih bernyawa ketika anggota polis tiba di tempat kejadian

Walau bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sekitar 30 minit selepas pasukan perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) tiba.

Dalam pada itu, siasatan berhubung insiden itu masih dijalankan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu serta Unit Forensik IPK Sabah di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim sewaktu ditemui di lokasi kejadian turut mengesahkan insiden berkenaan.

“Mangsa dibawa ke Unit Forensik HQE I untuk tindakan lanjut dan kes mengenai kejadian itu masih dalam siasatan polis,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian