Anggota Polis Kemalangan
Gambar: Bernama

Anggota Polis Terlibat Kemalangan Selamatkan Pemandu Daripada Terbakar

Iqbal Yasir

Anggota Polis Terlibat Kemalangan Selamatkan Pemandu Daripada Terbakar

SHAH ALAM, 17 Feb (Bernama) — Tindakan pantas anggota polis yang terlibat dalam kemalangan antara sebuah kereta dan trak polis di Jalan Bukit Cherakah, Klang awal pagi tadi berjaya menyelamatkan nyawa seorang mangsa daripada terbakar.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata empat individu termasuk tiga anggota polis terlibat dalam kejadian tersebut.

Beliau berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kemalangan itu kira-kira 6.40 pagi sebelum menggerakkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar ke lokasi.

“Komander operasi melaporkan kemalangan dipercayai akibat pertembungan antara dua kenderaan terbabit menyebabkan kereta dipandu seorang lelaki terbakar 90 peratus.

“Bagaimanapun pemandu kereta yang dalam keadaan sedar telah diselamatkan oleh anggota terlibat dengan memecahkan cermin dan menarik keluar mangsa sebelum kereta terbakar sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata kemalangan tersebut menyebabkan pemandu kereta berusia 56 tahun itu patah kaki manakala seorang anggota polis iaitu pemandu trak patah tangan dan dua lagi anggota cedera ringan.

“Makluman awal komander operasi turut menyatakan pemandu trak polis yang patah tangan akibat kemalangan itu telah bertindak mengundurkan trak bagi mengelakkan kenderaan berkenaan terbakar,” katanya.

Beliau berkata kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang bagi mendapatkan rawatan.

Sumber: BERNAMA

BACA: Ini Sebab Kenapa Februari Lebih Singkat Bilangan Hari Berbanding Bulan Lain

BACA: Akhirnya, Ujian DNA Dedah Identiti Pembunuh Bersiri ‘Jack The Ripper’

BACA: “Gigi Tajam Sangat” Gadis Kongsi Detik Cemas Digigit Ular Sawa Ketika Buang Air