GEORGE TOWN, 23 Jun (Bernama) — Seorang anggota polis cedera ketika mahu menahan seorang suspek yang melarikan sebuah lori di kawasan sebuah pasar raya besar di Bayan Baru, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang memaklumkan lori miliknya telah dilarikan suspek pada 4 petang tadi dan dia yang melihat kejadian itu tidak sempat berbuat apa-apa kerana berlaku dengan pantas.
“Selepas polis menerima maklumat berhubung kejadian itu, empat kereta peronda polis (MPV) yang sedang membuat rondaan di kawasan tersebut telah bertindak mengejar lori dipandu suspek lelaki yang melarikan kenderaan berkenaan.
“Pasukan MPV mengejar kira-kira 10 kilometer, sebelum lori tersebut terbabas di kawasan stesen minyak di Sungai Tiram dan berlaku pergelutan ketika polis cuba menahan suspek sehingga menyebabkan dia (suspek) dan seorang anggota mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata lelaki berumur 31 tahun itu mengalami kecederaan pada bahagian muka dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut manakala anggota polis cedera di tangan dan dalam keadaan stabil.
Sementara itu di Kepala Batas, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata polis berjaya menahan seorang lelaki selepas pasukan MPV mengejar kereta Proton Saga dipandu lelaki itu cuba melarikan diri ketika polis mahu menjalankan pemeriksaan di jalan ‘ban’ sawah padi di Penaga, 2.30 petang semalam.
Beliau berkata tiga MPV mengejar kenderaan tersebut kira-kira 1 kilometer dari Jalan Bakau Tua melalui Jalan Rantau Panjang selepas anggota polis yang melakukan rondaan meminta suspek memberhentikan kenderaan kerana berada dalam keadaan mencurigakan, namun suspek memecut laju sebelum terbabas.
“Bagaimanapun, rakan suspek meloloskan diri ke kawasan semak berhampiran dan usaha mengesannya giat dijalankan. Pemeriksaan ke atas lelaki yang positif dadah itu menemukan satu tiub penyedut minuman mengandungi dadah disyaki heroin dan syabu,” katanya.
Satu rakaman video berdurasi 17 saat memaparkan aksi MPV polis mengejar sebuah kereta di jalan ban atau batas padi tular dalam laman sosial sejak semalam.
Sumber: BERNAMA