KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) — Akibat tidak menemukan jodoh dalam tempoh enam bulan, seorang anggota pasukan keselamatan bertindak memukul seorang wanita di dalam lif di Jalan Dua, Chan Sow Lin, pada Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata suspek telah datang ke pejabat mangsa berusia 34 tahun itu dan menyerang bertubi-tubi di bahagian kepala menggunakan tangan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham setelah suspek dikatakan membayar sebanyak RM2,500 kepada mangsa untuk mencari calon jodoh di laman web Matrimony tetapi masih belum menemukannya hingga kini.
“Suspek telah menyalahkan mangsa kerana tidak menemukan jodoh malah mangsa mengalami pendarahan di kepala dan menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata suspek berumur 35 tahun itu dipanggil susulan tular sebuah rakaman wanita dipukul di dalam lif bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan orang.
“Jika orang ramai mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.
Sumber: BERNAMA