
Gara-gara hasrat berkahwin tidak direstui, seorang nelayan tekad membunuh ibu kandungnya menggunakan sebilah badik walaupun belum mempunyai calon isteri dalam kejadian di Tarakan, Indonesia baru-baru ini, lapor Kompas.com
Menurut Ketua Siasatan Jenayah Daerah Tarakan, Muhammad Aldi (gambar atas), permulaan kejadian berlaku apabila anak lelaki mangsa, 33, meluahkan hasratnya untuk berkahwin.
Namun, apabila ditanya mengenai bakal isteri, rupanya suspek masih belum mempunyai mana-mana calon dan mahu mangsa menjodohkannya dengan salah seorang saudaranya.
“Mangsa menolak permintaan anak lelakinya dan tidak bersetuju ekoran tidak mempunyai wang untuk membiayai perkahwinan atau membuka perniagaannya,” katanya kepada pemberita apabila disoal mengenai kejadian itu.
Selepas hasratnya ditolak, suspek hanya mengambil langkah berdiam diri dan kemudian masuk ke biliknya tanpa sepatah kata.
Bagaimanapun tambah Muhammad Aldi, pada sebelah petang hari kejadian, suspek mengambil sebilah badik di dalam almari dan meletakannya di dalam beg.

“Suspek mengunci pintu bilik ibunya dari dalam dan sekali lagi bertanyakan mengenai keputusan ibunya.
“Tetapi jawapan mangsa kurang memuaskan sehingga suspek berasa marah dan mengambil keputusan menikam ibunya dengan badik berukuran 25 sentimeter (cm),” katanya seperti dilapor Kompas.com.
Menurut Muhammad Aldi, suspek disyaki menikam ibunya berkali-kali tanpa menghiraukan kesakitan yang dialami sehingga kekecohan yang berlaku itu turut didengari adik-beradiknya yang lain.
Namun disebabkan pintu bilik terkunci dari dalam, ahli keluarganya yang lain terpaksa meminta pertolongan dari orang luar.
Jelasnya, orang ramai turut datang membantu mangsa daripada ditikam bertubi-tubi dengan memecahkan tingkap.
Muhammad Adli berkata, hasil pemeriksaan awal menunjukkan mangsa ditikam berkali-kali melalui 10 kesan tikaman di bahagian perut, dada, belakang dan pinggang.
“Terdapat 10 tikaman pada mangsa, empat tikaman di perut depan, satu tikaman di dada kiri.
“Manakala, dua tikaman di lengan kiri, dua tikaman di belakang dan satu tikaman lagi di belakang pinggang,” jelas Adli lagi.
Difahamkan, suspek sudah ditahan polis dan kes disiasat di bawah Fasal 44 Ayat (3), Undang-undang Nombor 23 Tahun 2004, iaitu penghapusan kekerasan dalam rumah tangga atau Fasal 338 Kitab Undang-undang Hukum Penjara, sub Fasap 351 Ayat (3).
Suspek bakal menerima hukuman penjara maksimum 15 tahun atau sekurang-kurangnya tujuh tahun sekiranya didapati bersalah.
Sumber: Kompas.com