Seorang remaja berusia 18 tahun meninggal dunia selepas 23 hari bertarung nyawa akibat terkena renjatan elektrik di sebuah kolej swasta di Perak.
Memetik daripada laporan akhbar, mangsa dikenali sebagai Muhammad Nadzaruddin perlu menyambung tempoh pengajiannya di peringkat sijil hingga Februari tahun hadapan. Sepatutnya tempoh pengajiannya akan tamat pada November tetapi ditangguhkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Luluh hati kedua orang tuanya apabila anak kesayangan ‘pergi’ buat selamanya selepas 23 hari bertarung nyawa di Hospital Taiping pada 14 November lalu. Walau bagaimanapun, mereka tetap setia disisi arwah sehingga nafas terakhirnya.

Menurut Norkamil, sepanjang tempoh berada di Hospital Taiping, mangsa tidak menunjukkan reaksi namun hati seorang ayah tetap tersentuh apabila Allahyarham hanya menitiskan air mata setiap kali mereka memanggil namanya.
Mengulas tentang kejadian tersebut, ayah mangsa memberitahu bahawa pihak kolej menghubunginya pada 23 Oktober lalu. Pihak kolej memaklumkan bahawa kejadian tersebut berlaku ketika anaknya memanjat tangga dan tangannya terpegang besi kipas dinding yang masih mengandungi arus elektrik ketika mengemas sebuah kelas di bangunan kolej swasta tersebut.
Susulan daripada kejadian tersebut, Nadzaruddin terus rebah dan dikejarkan ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan lanjut.
Laporan awal hospital memaklumkan keadaan anaknya stabil tetapi mengalami kerosakan pada bahagian otak.
“Saya terkejut dan berasa sedih ketika menerima berita berkenaan, perasaan itu masih dirasai hingga ke saat ini,” ujarnya.
Tambahnya lagi, anaknya itu seorang yang pendiam, baik hati dan penyayang. Allahyarham Nadzaruddin pernah berhasrat untuk membuka sebuah bengkel kimpalan selepas tamat belajar nanti namun tidak kesampaian.
Bagaimanapun, ibu bapa mangsa redha dengan pemergiaan anak ketiga dalam keluarga mereka. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman, InshaAllah.
Sumber: Sinar harian
Jangan lupa Subscribe Youtube kami di bawah