
Seorang lelaki di Davis County, Utah, ditahan polis baru-baru ini selepas dilapor tergamak menembak ayah kandungnya sendiri gara-gara marah kerana salah beli bahagian ayam kesukaannya.
Menurut kenyataan kes seperti yang dilaporkan Metro, kejadian itu berlaku apabila si ayah pulang ke rumah mereka dan membawakan set makanan ayam yang dipesan anaknya (lelaki itu).
Bagaimanapun, kepak ayam yang dibawa itu adalah bahagian yang tidak disukainya, lantas lelaki itu marah lalu terus mengeluarkan sepucuk pistol dan mengacukan kepada ayahnya serta-merta.
Dalam sekelip mata, dia melepaskan tembakan namun tersasar kerana si ayah sempat menunduk. Akhirnya peluru itu menghala ke dinding sebelum tembus ke mesin basuh rumah jiran.
Menyedari nyawanya hampir melayang hanya disebabkan ayam, si ayah itu tekad membalas serangan tersebut dengan bergelut bersama anaknya untuk merampas pistol dari tangannya.
Dalam pergelutan itu lelaki terbabit sempat melepaskan dua das tembakan, namun sekali lagi peluru tersasar dan menghala ke arah siling sebelum tembus ke lantai rumah tingkat atas.
Akhirnya si ayah berjaya merampas pistol tersebut, dalam masa sama lelaki terbabit dikatakan cuba melarikan diri namun gagal apabila sepasukan polis tiba di tempat kejadian dan menahannya.
Ekoran itu, lelaki itu didakwa atas tuduhan membunuh serta melepaskan tembakan senjata api untuk tujuan jenayah, sebelum akhirnya dipenjarakan di Penjara Davis County di Farmington, Utah.
Sumber: Metro