Pada hari ini, kita telah dikejutkan dengan pemergian salah seorang daripada anggota kumpulan rock lagenda tanah air iaitu Yazit ahmad. Allahyarham serta anggota kumpulan lain yang terdiri daripada Amy, Hillary Ang, Nasir, dan Zainal pernah menghiburkan kita semua menerusi lagu-lagu yang pernah hits dan masih segar dalam ingatan kita antaranya ialah Issabella, Fantasia bulan madu, Pelesit kota, Pawana dan banyak lagi.
Pemergian bekas pemain dram kumpulan rock lagenda itu dikatakan berpunca daripada kecederaan otak yang berpunca daripada kekurangan oksigen dalam badannya. Allahyarham Yazit Ahmad, 57, telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 11.53 pagi tadi.
Susulan daripada pemergian Allahyarham Yazit Ahmad, salah seorang rakannya iaitu Amy Search ada berkongsikan foto-foto lama semasa era kegemilangan kumpulan rock itu. Foto-foto tersebut turut merakamkan figura Allahyarham yang juga turut menjadi salah satu elemen penting di dalam kumpulan tersebut.
Di dalam gambar yang dikongsikan oleh Amy Search, beliau turut menyertakan sepotong ayat yang mendoakan agar roh Allahyarham Yazit Ahmad ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
“Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un (انا لله وانا اليه راجعون)”.
“Yazit Ahmad telah kembali ke rahmatullah 26 Sept 2019.
Salam takziah buat seluruh keluarga dn Semoga tabah melalui dugaan ini. Ya Allah, Ya Rabb, moga Kau menerima taubatnya, ampunkan dosanya dan di tempatkan di syurga Mu tanpa hisab. AmeenYRA”.
Berita yang mengejutkan itu juga turut tular di media sosial. Ianya juga turut mendapat perhatian para netizen yang tidak melepaskan peluang menitipkan ucapan takziah buat Allahyarham dan ahli keluarga beliau.










Jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Salehuddin Al Ayubi yang terletak di Taman Melati dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah, Taman Selasih.
Sumber: Instagram Amy Search