Amorim Buat Kenyataan Aneh Selepas Tewas 1-0 Kepada Arsenal
Pengurus Manchester United, Ruben Amorim berpendapat pasukan bimbingannya mempunyai kualiti yang cukup untuk menewaskan mana-mana kelab pada musim ini.
Kenyataan berkenaan dibuat oleh pengendali dari Portugal itu dalam sidang media selepas perlawanan yang menyaksikan United tewas tipis 1-0 kepada Arsenal di halaman sendiri, tengah malam tadi.
Menurut Amorim, perlawanan berkenaan boleh berakhir dengan keputusan berpihak kepada mereka jika mengambil kira persembahan yang ditampilkan oleh anak buahnya.
Malah, dua tonggak baru yang ditandatangani pada musim panas ini iaitu Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo turut menampilkan debut yang cukup meyakinkan.
“Kami bermain dengan baik dan kami adalah pasukan yang lebih baik hari ini. Kami kalah, tetapi saya amat berbangga dengan kerja keras ditunjukkan oleh pemain di atas padang dan ia sangat penting.
“Saya fikir, kami sudah membuktikan hari ini bahawa kami boleh memenangi mana-mana perlawanan liga, terutamanya menentang pasukan seperti Arsenal dan kami pasukan yang lebih baik. Jadi, saya gembira dengan aksi para pemain,” katanya.
Terdahulu, tandukan Riccardo Calafiori menerusi bola hasil daripada sepakan penjuru pada separuh pertama menjadi gol tunggal perlawanan, namun cukup untuk Arsenal membawa pulang tiga mata penting.
Statistik menunjukkan United menguasai 62 peratus perlawanan dan menjadi pasukan yang lebih berbahaya di atas padang untuk sepanjang 90 minit tempoh perlawanan.
Kelab itu merekodkan 22 percubaan dengan 7 percubaan tepat manakala pelawat pula mencatatkan hanya 9 percubaan dengan 3 percubaan tepat.
BACA: Insentif Khas Akan Diberi Kepada SMK Dr. Burhanuddin Jika Catat Sifar Buli – Fadhlina
Sumber: Manchester United