Gambar: via New York Post

Ambil Untuk Pihak Lain, Lelaki Dilapor Terima 10 Suntikan Vaksin Dalam Sehari

Nadhirah

Seorang lelaki di New Zealand dilaporkan telah menerima 10 dos suntikan vaksin Covid-19 dalam masa sehari bagi pihak orang lain, dan perkara itu dianggap ‘mementingkan diri sendiri’ memetik laporan New York Post.

Pengurus Operasi Kumpulan untuk vaksin Covid-19 dan program imunisasi di New Zealand, Astrid Koornneef berkata, Kementerian Kesihatan negara itu menyedari kejadian tersebut dan menganggap perkara itu sangat serius.

Tambah laporan lagi, pihak kementerian tidak memberitahu di bahagian New Zealand mana kejadian itu berlaku.

Sementara itu, seorang pakar vaksin iaitu Profesor Madya Helen Petousis-Harris, mengatakan tingkah laku itu sebagai ‘sangat mementingkan diri sendiri’ dan mengambil kesempatan terhadap seseorang yang memerlukan wang.

Menurut beliau, tindakan itu boleh menyebabkan kemudaratan yang serius terhadap orang yang tidak diberikan vaksin, malah mereka mungkin boleh menyebarkan virus.

Tambah Petousis-Harris lagi, lelaki yang mengambil beberapa dos vaksin Covid-19 itu mungkin tidak mengalami sebarang bahaya yang serius, namun berkemungkinan untuk berasa tidak sihat pada hari berikutnya akibat tindak balas imun.

Petousis-Harris turut berkata bahawa individu yang menerima banyak dos vaksin Covid-19 adalah tidak ideal kerana pengambilan dos mereka akan lebih tinggi dan boleh menyebabkan mereka mudah untuk mengalami demam yang lebih kerap, dan sakit kepala.

Lelaki itu dipercayai telah melawat beberapa pusat vaksinasi dan telah dibayar untuk menerima suntikan itu, menurut Stuff.

Sumber: New York Post