
Amaran Ribut Petir, Hujan Lebat Di Tujuh Negeri
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di tujuh buah negeri di Semenanjung Malaysia sehingga jam 6 petang ini.
Menurut MetMalaysia, ramalan tersebut berdasarkan tanda-tanda ribut petir dan intensiti hujan yang dijangka lebih sejam.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” katanya.
Menerusi amaran tersebut, seluruh negeri Perlis bakal dilanda ribut petir, hujan lebat dan angin kencang manakala di Kedah, ia hanya melibatkan daerah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Sik dan Baling.
Di Perak pula, daerah Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim dijangka bakal terkesan.
Di sebelah pantai timur pula, ribut petir dan hujan lebat yang melanda negeri Kelantan hanya melibatkan daerah Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah, manakala Terengganu hanya di daerah Marang, Dungun dan Kemaman. Pahang pula hanya melibatkan daerah Raub, Temerloh, Maran dan Kuantan.
Melihat di sebelah selatan negara, hujan lebat dijangka hanya melanda Hulu Selangor di Selangor.
Terdahulu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi kawasan Laut China Selatan dan Selat Melaka Utara. Amaran tersebut berkuatkuasa bermula 13 September (esok) hingga 18 September 2024.
“Berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin dijangka berlaku di utara Semenanjung dan barat Sabah dari 13 hingga 18 September 2024.
“Keadaan ini berpotensi menghasilkan ribut berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang lebih panjang di kawasan tersebut serta angin kencang dan laut bergelora di perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka Utara,” katanya.
Orang ramai dinasihati membuat perancangan awal bagi perjalanan dan berhati-hati ketika memandu. Elakkan berada di kawasan titik panas kepala air dan banjir.
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)
BACA: Bomba Perak Kenal Pasti 323 Lokasi Titik Panas Kepala Air, Banjir