
Amaran Ribut Petir Di 9 Negeri, WP – METMalaysia
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan hingga 2 pagi ini.
Dalam kenyataan tersebut, negeri yang terlibat adalah Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.
Selain itu, difahamkan bahawa cuaca buruk juga melanda keseluruhan negeri Melaka, selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Di Pahang, daerah terlibat adalah Bentong, manakala di Selangor membabitkan Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
“Di Negeri Sembilan pula, daerah terlibat adalah Jelebu, Seremban, Port Dickson, Rembau dan Tampin, selain Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pahat di Johor,” maklum METMalaysia.
Sementara itu, Sarawak membabitkan daerah Miri (Miri dan Marudi) dan Limbang.
Manakala di Sabah, daerah terlibat adalah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort dan Nabawan), Pantai Barat (Papar) dan Sandakan (Telupid).
Malam ini, beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dipercayai dilanda ribut serta angin kencang.
Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi perkongsian video yang memaparkan suasana cuaca buruk di beberapa lokasi.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai amaran cuaca daripada pihak METMalaysia melalui saluran rasmi.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian tidak diingini akibat cuaca buruk yang diramalkan melanda kawasan-kawasan tersebut.
BACA: Warga Kongsi Keadaan Ribut & Angin Kencang Sekitar Lembah Klang
Sumber: METMalaysia