
Amaran Ribut Petir Di 7 Negeri, WP – METMalaysia
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan hingga 6 petang ini.
Dalam kenyataan tersebut, negeri yang terlibat adalah Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah, serta keseluruhan negeri Melaka dan WP Kuala Lumpur.
“Di Pahang, daerah yang terlibat adalah Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin.
“Di Selangor pula, daerah terlibat adalah Hulu Selangor, Gombak, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
“Sementara itu, di Negeri Sembilan membabitkan daerah Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Jempol,” maklum METMalaysia.
Tambah METMalaysia, keadaan cuaca buruk turut diramal melanda beberapa daerah di Sarawak membabitkan Kapit (Bukit Mabong dan Belaga), Bintulu (Bintulu dan Sebauh), Miri dan Limbang.
Manakala di Sabah, daerah yang terlibat adalah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort dan Nabawan).
Sehubungan itu, penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai amaran cuaca daripada pihak METMalaysia melalui saluran rasmi.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian tidak diingini akibat cuaca buruk yang diramalkan melanda kawasan-kawasan tersebut.
BACA: Polis Terima Laporan Pelajar Jatuh Dari Tingkat Tiga Asrama Sekolah Di Sabak Bernam
Sumber: METMalaysia