
Amaran Hujan Lebat Di 3 Negeri Petang Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahawa hujan lebat, ribut petir dan angin kencang diramal akan melanda tiga negeri sehingga jam 4 petang ini.
Menerusi kenyataan di Facebook, MetMalaysia berkata hujan lebat berlaku di seluruh negeri Perlis.
Selain itu, ia juga melibatkan daerah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik dan Baling di Kedah.
Manakala di Sarawak pula, daerah Kuching, Serian, Samarahan (Samarahan dan Asajaya), Sarikei, Sibu, Mukah (Dalat dan Mukah), Kapit (Kapit) dan Bintulu dijangka terlibat.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata MetMalaysia.
Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan tidak berada di kawasan yang berisiko.