
Amaran Hujan Lebat Di 3 Negeri, 1 Wilayah Hingga Awal Pagi Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di tiga negeri dan satu Wilayah hingga jam 1 pagi ini.
Amaran berkenaan dikeluarkan untuk seluruh kawasan di Wilayah Persekutuan Labuan.
Dalam pada itu, fenomena cuaca tersebut juga diramal akan melanda kawasan Langkawi di Kedah.
Hujan lebat dan ribut petir turut diramal berlaku di Sarawak yang melibatkan daerah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah (Tanjung Manis dan Daro), Kapit (Belaga).
Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda sekitar daerah di Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan dan Keningau), Sandakan (Tongod, Telupid dan Beluran) dan Kudat (Pitas dan Kudat) di Sabah.
METMalaysia memaklumkan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata hantaran itu.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai amaran cuaca daripada pihak METMalaysia melalui saluran rasmi.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian tidak diingini akibat cuaca buruk yang diramalkan melanda kawasan-kawasan tersebut.