
Amaran Hujan Lebat Berterusan Di Beberapa Negeri
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan di beberapa negeri dalam tempoh sehingga 29 November ini.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, MetMalaysia berkata hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di negeri Terengganu iaitu di daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sehingga 28 November.
Selain itu, hujan lebat berterusan tahap buruk pula diramal berlaku di seluruh negeri Kelantan. Manakala, di Terengganu melibatkan daerah Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman sehingga 28 November.
Bagi hujan berterusan tahap waspada, ia dijangka berlaku di seluruh Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Sik dan Baling) dan Perak (Hulu Perak) sehingga 26 November.
Keadaan cuaca itu turut diramal di negeri Pahang iaitu di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut dan Kuantan sehingga 27 November.
Ia juga dijangka berlaku di seluruh negeri Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka. Bagi negeri Kedah, ia melibatkan daerah Kulim dan Bandar Baharu dan di Johor daerah Tangkak dan Segamat dalam tempoh 28 November sehingga 29 November.