
Amaran Hujan Berterusan Di Tiga Negeri
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di tiga negeri.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, hujan berterusan itu dijangka akan berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu bermula 5 hingga 8 Januari.
Manakala, di Pahang iaitu di daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin bermula pada 6 hingga 8 Januari.
Amaran itu dikeluarkan susulan analisis terhadap model-model ramalan cuaca yang menunjukkan bahawa luruan monsun dijangka berterusan sehingga 8 Januari 2026.
“Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora juga dikemas kini berkuat kuasa sehingga 6 Januari 2026 bagi Laut China Selatan termasuk perairan barat Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur,” kata MetMalaysia.
Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.