Gambar Via Bernama

Amaran Cuaca Waspada Di Beberapa Kawasan Di Pahang Ditamatkan

Sofea

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) — Keadaan cuaca bagi negeri Pahang yang dilanda banjir ketika ini bertambah baik, membolehkan amaran cuaca waspada (kuning) yang dikeluarkan pada pagi ini di beberapa kawasan negeri itu, ditamatkan.

Ketua Pengarah Jabatan Metorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon dalam kenyataan memaklumkan, ia melibatkan daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Jerantut.

Bagaimanapun beliau berkata keadaan cuaca lembap masih dijangka berlaku untuk negeri Kelantan, Terengganu dan Sabah.

Sehubungan itu amaran cuaca waspada (kuning) sehingga esok, dikeluarkan bagi beberapa negeri seperti Kelantan; Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu & Marang); dan Sabah (Sandakan, Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Kudat).

“Dalam tempoh tersebut, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri-negeri pantai timur Semenanjung dan Sabah.

“Manakala kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat Semenanjung, Sarawak dan Sabah dijangka mengalami kejadian ribut petir dan hujan lebat, berserta angin kencang terutamanya pada waktu petang sehingga awal malam,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh.

Katanya, angin kencang timur laut berkelajuan sehingga 60 km/jam dengan ombak mencapai 4.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur, dalam tempoh tersebut.

“Sementara di perairan Sarawak, Sabah dan Labuan, angin kencang timur laut berkelajuan sehingga 50 km/jam dengan ombak sehingga 3.5 meter, dijangka boleh berlaku dalam tempoh tersebut. Kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit,” katanya.

Sumber: BERNAMA