
Amaran Banjir Babit 4 Daerah Di Selangor
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran, mengeluarkan amaran banjir yang melibatkan beberapa daerah di Selangor susulan keadaan cuaca buruk.
Daerah yang berisiko ialah Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Klang, dengan situasi dijangka berlaku mulai hari ini sehingga 25 November.
Menurut PRABN, amaran tersebut dikeluarkan berikutan Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) yang diumumkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Berdasarkan pemantauan, beberapa lembangan sungai dikenal pasti berpotensi mengalami limpahan.
Ini termasuk Lembangan Sungai Buloh dan Lembangan Sungai Klang (Sungai Batu) di daerah Gombak dan Lembangan Sungai Buloh, Lembangan Sungai Klang dan Lembangan Sungai Damansara di daerah Petaling.
Selain itu, keadaan sama dijangka berlaku di Lembangan Sungai Langat di daerah Hulu Langat serta Lembangan Sungai Klang di daerah Klang.
Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia memaklumkan bahawa pemantauan rapi akan diteruskan, dan sebarang kemas kini amaran banjir akan dikeluarkan sekiranya hujan signifikan berterusan di kawasan lembangan sungai terbabit.
PRABN turut menegaskan bahawa banjir boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tempoh yang dijangka.
Sehubungan itu, semua agensi pengurusan bencana serta penduduk di kawasan berisiko diminta berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Maklumat dan amaran terkini boleh diperoleh melalui laman web Public Info Banjir di publicinfobanjir.water.gov.my dan di Facebook rasmi PublicInfoBanjir.

BACA: 5 Perkara ‘Wajib’ Buat Kalau Tak Nak Kereta Rosak Teruk Redah Banjir