
Amang Seksual Anak Rakan, Pesara Tentera Dihukum Penjara 4 Tahun & Satu Sebatan
Mahkamah Seksyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan terhadap seorang pesara tentera yang didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan rakannya, pada bulan Ramadan yang lalu.
Hakim Hilmiah Yusof membuat keputusan tersebut selepas lelaki berusia 42 tahun itu mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Berdasarkan pertuduhan, pesara tersebut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun lima bulan.
Kejadian berlaku di ruang tamu sebuah rumah di Kinta pada jam 3 pagi, 28 Mac lalu.
Pertuduhan ini dibuat mengikut mengikut Seksyen 14(a), (b) dan (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi pertuduhan pertama dan kedua, bermula dari tarikh tangkapan pada 29 Mac lalu, manakala bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu dihukum penjara empat tahun dan satu sebatan.
Namun, Hakim Hilmiah membenarkan hukuman penjara dijalankan serentak, menjadikan jumlah hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan.
Menurut fakta kes, semasa kejadian, mangsa yang sedang tidur di ruang tamu tersedar dan mendapati tertuduh berada di sebelahnya.
Lelaki tersebut menarik tangan mangsa dan melakukan perbuatan yang dituduh.
Selepas kejadian, mangsa menghubungi ibu saudaranya untuk menceritakan kejadian tersebut.
Hakim menjelaskan bahawa hukuman ini berdasarkan penilaian menyeluruh yang merangkumi pengakuan tertuduh, usianya, jenis kesalahan, kepentingan awam dan rekod lampau.
Dalam rayuan, tertuduh menyatakan bahawa hukuman penjara yang panjang akan memberi kesan kepada tiga anaknya yang masih bersekolah dan ibu yang uzur.
Mahkamah juga mengambil kira sumbangan tertuduh kepada negara setelah berkhidmat selama 15 tahun.
“Dia juga mengaku, kesalahan yang dilakukan merupakan perbuatan yang keji dan salah, bukan sahaja dari segi undang-undang malah agama,” katanya.
Namun, pihak pendakwaan telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi untuk menuntut agar hukuman penjara terhadap tertuduh dijalankan secara berasingan.
BACA: Mahkamah Tolak Permohonan DNAA Najib, Mohd Irwan
BACA: Reman Suspek Kes Bunuh Nur Farah Kartini Dilanjut Tujuh Hari
Sumber: Sinar Harian