AmanahRaya Trustees Berhad Terus Taja ‘King Cheetah’ Dan Anjur Lawatan Ke Zoo Negara Bersama Anak-anak Yatim
Kuala Lumpur, 21 Oktober 2023 – AmanahRaya Trustees Berhad (ART), anak syarikat milik penuh Amanah Raya Berhad hari ini telah melaksanakan satu lagi Program Tanggungjawab Sosial Korporatnya menerusi ‘Conserve & Care 2023’ di Zoo Negara Malaysia seiring Agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Malaysia. Program ‘Conserve & Care 2023’ merupakan kesinambungan tajaan ke atas seekor Cheetah yang dikenali sebagai ‘Bolt’ sebagai haiwan angkat selain memberi sumbangan dan meraikan anak-anak yatim daripada Persatuan Kebajikan Rumah Anak-Anak Yatim Damai.
Simbolik penyerahan cek tajaan ke atas ‘Bolt’ sebanyak RM16,391.00 telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ART, Yang Berusaha Encik Zainudin Bin Suhaimi kepada Timbalan Presiden Zoo Negara, Yang Berbahagia Datuk Rosly Bin Lana dan disaksikan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Idrus Bin Harun bersama Presiden Zoo Negara, Yang Berbahagia Datuk Sr. Zaharin Bin Md Arif serta Yang Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Yang Berusaha Encik Ahmad Feizal Bin Sulaiman Khan. Majlis turut disertai oleh barisan Ahli Lembaga Pengarah ART bersama.


Yang Berusaha Encik Zainudin Bi Suhaimi dalam ucapannya berkata, ‘Pelaksanaan program ini merupakan antara usaha ART bagi membuktikan komitmen ke arah kelestarian perniagaan, juga mempromosikan amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus yang baik (ESG). Tambah beliau, penajaan ‘Bolt’ sebagai haiwan angkat diteruskan lagi selama setahun memandangkan ‘Bolt’ adalah simbolik kepada ART yang melambangkan kecekapan dan ketangkasan perniagaan ke arah pembangunan ekonomi yang lebih mampan. Tajaan meliputi kos penyediaan makanan dan penjagaan veterinar ‘Bolt’ bagi memastikan spesis haiwan yang digelar King Cheetah ini terus terpelihara dan terlindung daripada ancaman kepupusan.
Selain itu, ART juga turut menyantuni dan meraikan lebih dua puluh Sembilan (29) anak-anak yatim menerusi sesi lawatan ke Zoo Negara untuk memberi pendedahan kepada mereka tentang dunia haiwan dan alam sekitar selain dapat membawa mereka menjalani aktiviti luar di samping menimba ilmu berkenaan pemeliharaan dan pemuliharaan haiwan di Zoo Negara. Selain aktiviti lawatan, ART turut menyalurkan sumbangn zakat kepada anak-anak yatim untuk membantu keperluan harian dan pendidikan anak-anak ini.
