padam kebakaran tesla
Kredit: Pine Level Fire Department/Facebook

Alami “Thermal Runaway”, Bomba Perlukan 36,000 Gelen Air Padam Kebakaran Tesla

Nurhanis

Alami “Thermal Runaway”, Bomba Perlukan 36,000 Gelen Air Padam Kebakaran Tesla

Sebanyak 36,000 gelen air yang diperlukan anggota bomba untuk memadam api yang membakar sebuah kenderaan Tesla di tepi lebuh raya Alabama, Amerika Syarikat (US) pada Krismas.

Jabatan Bomba Pine di US berkata dalam kejadian kira-kira 11.14 malam itu Tesla Model Y tersebut mengalami kebakaran yang berpunca daripada kemalangan jalan raya.

Menurut bomba, bateri litium-ion dalam Tesla Model Y sepenuhnya elektrik mengalami “thermal runaway”.

Ia adalah satu tindak balas berantai yang menyebabkan pelepasan tenaga dan membawa kepada peningkatan suhu yang tidak terkawal.

“Dua gelung hos pemadam telah digunakan dan disebabkan oleh pelepasan haba bateri kenderaan, kebakaran ini memerlukan lebih 36,000 gelen air untuk memadamkan api dalam masa lebih kurang sejam.

“Asap dari kereta elektrik yang terbakar ini menghasilkan gas hidrogen flourida dan hidrogen klorida di mana kedua-duanya adalah toksik kepada pernafasan dan memerlukan anggota bomba memakai alat pernafasan,” katanya dalam kenyataan.

Semasa kejadian, Agensi Penguatkuasaan Undang-undang Alabama menutup antara negeri sementara api sedang dipadamkan.

Bagaimanapun, bomba berkata tiada kecederaan dilaporkan dan pemandu tersebut sempat melarikan diri sebelum bomba tiba.

Bomba tersebut turut mengatakan kes tersebut adalah kes pertama yang berlaku di Daerah Autauga dan kebiasaannya kebakaran melibatkan kenderaan elektrik adalah cabaran buat jabatan tersebut.

“Ini adalah yang pertama untuk Daerah Autauga.

“Kebakaran kenderaan elektrik adalah luar biasa dan memberikan cabaran serta bahaya yang unik kepada anggota bomba,” ujarnya.

Tambah bomba, kenderaan tersebut terbakar pada suhu melebihi 2500 darjah celcius.

“Kenderaan elektrik tersebut boleh menyala semula beberapa jam atau beberapa hari selepas kebakaran dipadamkan,” katanya.

Sumber: CBS42, Pine Level Fire Department/Facebook

BACA: Lori Berundur Langgar Honda: Handbrake Tak Ditarik Kemas – Polis