Alami Kejang Otot, Peserta Maraton Dipapah Raih Perhatian
Seorang peserta larian Twincity Marathon Cyberjaya rebah dipercayai mengalami kekejangan otot sewaktu menghampiri garisan penamat.
Menerusi video tular berdurasi 29 saat itu, Mohamad Adnie yang merupakan peserta dalam kategori 42 kilometer (km) sedang berlari menuju ke garisan penamat.
Bagaimanapun, tepat di hadapan gerbang penamat itu, dia secara tiba-tiba rebah di atas jalan tidak dapat meneruskan larian kerana kekejangan otot yang dialaminya.
Tetapi, semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh seorang peserta maraton yang mengekorinya dari belakang, Qaiser Heshaam membantu Adnie mendapat perhatian ramai.
Gambar: TikTok@checkpointspotQaiser yang juga peserta larian 21km cuba memapah lelaki itu melintasi garisan penamat selepas kelihatan tidak mampu berdiri.
Adnie yang berbaju hitam menggulingkan badan untuk melengkapkan larian penuh di kedudukan keempat dengan catatan masa 2 jam 57 minit.
Manakala Qaiser berada di kedudukan ke-10 dengan catatan masa 1 jam 27 minit.
Gambar: TikTok@checkpointspot“Mohamad Adnie (#A0155), kekejangan oto dan rebah, ketika sampai ke garisan penamat. Dia kemudiannya dibantu oleh Qaiser Heshaam (#E2521 ) untuk menamatkan perlumbaan.
“Kedua-duanya menamatkan saingan di podium.
“Mohamad Adnie (Tempat Ke-4 42KM Kategori Lelaki Terbuka – 02:57:46), Qaiser Heshaam (Tempat ke-10 21KM Kategori Lelaki Terbuka – 01:27:56).
“Syabas kerana anda berdua menunjukkan semangat sebenar untuk menang dalam perlumbaan!” tulis kapsyen video itu.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memuji tindakan kedua-dua peserta itu kerana menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.
Sebahagian netizen turut mendoakan Adnie kembali sembuh selepas mengalami kecederaan tersebut. Bahkan mereka turut menyifatkan larian sejauh 42km bukanlah sesuatu yang mudah.
Berikut adalah antara komen;
“Aku respect dekat abang baju kuning, dia cuba nak tolong tapi apakan daya dia pun tak berdaya,” komen seorang pengguna.
“42km bukan sesuatu yang lawak. Tahniah Adnie, sub 3. Keep Training,” tulis seorang pengguna lagi.
“Aku tengok benda macam ini pun aku nangis,” komen pengguna lain.
Untuk makluman, video ini mendapat lebih 1.2 juta tontonan dengan lebih 33,000 tanda suka dengan pelbagai komen daripada pengguna.
Sumber: TikTok@checkpointspot