KETIKA tempoh Perintah Kawalan Berkurung sepanjang 18 hingga 31 Mac ini, banyak sektor pekerjaan yang terpaksa ditutup sementara demi keselamatan awam.
Maka daripada itu, kita akan melihat banyak pihak yang terkesan, daripada kilang penghasilan besar sehinggalah ke penjaja kuih tepi jalan.
Namun apakan daya, penegasan yang diambil oleh kerajaan ini tidak dapat tidak mesti perlu dipatuhi agar jangkitan COVID-19 mampu dikurangkan secara berperingkat.
Sesuatu yang agak mencabar apabila di sebalik perintah kawalan berkuatkuasa, ada segelintir marhaen yang terpaksa menghadapi risiko demi mencari sesuap nasi untuk anak dan isteri.
Perkara ‘perit’ ini turut dirasai oleh seorang pekerja penghantaran (delivery rider) yang hanya mahu dikenali sebagai Zul.
Rider yang sedang ambil pesanan di kedai namun langkah keselamatan iaitu memakai topeng muka tidak dilupakan. Gambar contoh atas keizinan daripada pemilik sebenar.Menurutnya, walaupun tahu waktu sekarang adalah agak berbahaya jika buat delivery kerana terdedah dengan kawasan awam, namun dia punyai sebab tersendiri yang dikongsikan melalui kisah hidupnya.
“Saya dulu ada bisnes, tapi bisnes jatuh teruk. Tanggungan dan hutang banyak.
“Sebelum ini saya pernah cuba mohon kerja di dua syarikat delivery tapi tak berjaya. Jadi saya mohonlah ke dua syarikat lain yang saya tengah buat sekarang. Jalankan kedua-duanya,” jelasnya ketika dihubungi Siakap Keli hari ini.
Tambahnya lagi, dia sedang menanggung tujuh orang anak, dari yang belajar di universiti hinggalah ke sekolah rendah.
“Yang sulung kini di sebuah institut di Melaka dan bongsu pula darjah enam. Dia ada sakit Thalassemia, perlu menjalani temujanji pakar setiap tiga bulan dan kadang-kadang kena masuk darah jika perlu,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kondisi kesihatan anak bongsunya itu sering merisaukan dia kerana tahap imunisasi kanak-kanak tersebut kurang dan berisiko mudah mendapat jangkitan.
“Saya kena ‘kayuh’ sebab nak cover hutang dengan family.
“Saya tawakkal pada Allah, saya yakin Allah beri ujian ada sebab dan Alhamdulillah (masih) ada rezeki walau kita dilanda wabak..,” katanya lagi.
“Dia ada sakit Talassemia, perlu menjalani temujanji pakar setiap tiga bulan dan kadang-kadang kena masuk darah jika perlu..” – gambar hiasanDifahamkan, dia pernah cuba memohon bantuan daripada mana-mana badan berautoriti yang berkaitan namun usahanya menemui kegagalan.
Zul yang menetap di Bangi ini akan keluar mencari rezeki dengan motosikalnya bermula pukul 10 pagi sehingga 6 petang setiap hari, manakala isterinya pula bekerja sebagai quality checker di sebuah kedai tudung secara sambilan.
Ada hari, nasibnya baik jika menerima banyak ‘order’ dan ada hari, hanya seadanya sahaja.
Begitulah cabaran yang dihadapi oleh abang rider bernama Zul ini. Demi keluarga, dia sanggup berkorban siang dan malam mencari nafkah, sekalipun dia tahu pada waktu ini, ada cabaran lain yang lebih besar iaitu perintah kawalan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khasnya semalam berkata, beliau menyarankan agar orang awam menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah sebagai langkah keselamatan untuk mengelakkan sebarang jangkitan berlaku di kedai makan.
Marilah sama-sama kita mendoakan agar rider-rider ini mendapat rezeki yang melimpah ruah, di samping sentiasa dalam keadaan selamat sepanjang waktu bertugas di atas jalan raya. Ameen..
Sumber: Zul