Aktiviti Ekonomi Tradisional Dengan Tenaga Solar: Pasukan Johor Menang Besar Di Petrosains RBTX Challenge 2024
Kuala Lumpur (28 Oktober 2024): SK Kampong Layau dari Johor berjaya memenangi kategori “Indigenous Culture & Technology” di bawah kategori Inovasi di Petrosains RBTX Challenge 2024 dengan projek inovatif mereka, “Advanced ReTTiSS – Sistem Sensor Arus Pasang Surut Masa Nyata.” Sistem ini membantu melindungi nelayan di Kampung Layau, Kota Tinggi, daripada cuaca yang tidak menentu dan perubahan arus yang boleh berbahaya di air terbuka.
Ahmad Sidik, 11 tahun, menyatakan bahawa beliau menyertai pertandingan ini dan menyumbang kepada idea projek ini untuk membantu bapanya, seorang nelayan, dengan menjadikan pekerjaannya lebih selamat dan mudah. Sistem ini merangkumi jaring ikan automatik dan penggera keselamatan.
Jaring tersebut akan dikerahkan apabila arus berada pada paras yang sesuai untuk menangkap ikan, dan penggera akan memberikan amaran kepada nelayan apabila tibanya masa untuk pulang sebelum keadaan menjadi berbahaya. Sepenuhnya dikuasakan oleh tenaga solar, inovasi ini selari dengan fokus pertandingan untuk menyokong kelestarian dan meningkatkan aktiviti ekonomi tradisional.

Dalam kategori Inovasi: Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE), pasukan SMS Kota Tinggi, SAKTI SERENE, juga dari Johor, memenangi kategori ini dengan projek perabot tekstil lestari mereka. Mereka mengubah pakaian terpakai menjadi perabot dengan mencampurkannya dengan kanji, yang bertujuan untuk mengurangkan sisa dan menyokong amalan mesra alam.
Sementara itu, pasukan MCR dari Indonesia mendapat tempat kedua dengan projek Turbin Angin Laut mereka, yang bertujuan membantu nelayan di Pantai Gemah dan Pantai Klatak menangkap udang karang pada waktu malam. Duo adik-beradik dari SJKC Union, Pulau Pinang, meraih tempat ketiga dengan Smart Tong 4-dalam-1 mereka, sebuah tong pengasingan yang menggunakan sensor slot ringkas dan fototransistor untuk mengklasifikasikan bahan kitar semula.
Pertandingan robotik yang merupakan edisi keenam tahun ini telah menerima sambutan yang hangat, dengan penyertaan sebanyak 1,952 pasukan melibatkan lebih 7,000 peserta dari Malaysia dan negara lain, termasuklah Brunei dan Indonesia.
Sejak pengenalan pertandingan ini pada tahun 2018, Petrosains RBTX Challenge telah berjaya memanfaatkan lebih 77,000 peserta dalam bidang robotik dan teknologi.
Pertandingan ini menyediakan latihan asas dalam reka bentuk, pengekodan, dan teknologi sensor untuk pembangunan robotik kepada para peserta. Sebanyak 437 pasukan telah disenarai pendek sebagai finalis, dan telah bertanding di Stadium Juara, Bukit Kiara, dalam tiga kategori utama, iaitu Inovasi, Robo Sumo, dan Robo Tracer.

Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn. Bhd. Ezarisma Azni Mohamad berkata: “Sebagai badan impak sosial PETRONAS, kami amat berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk menginspirasi dan meningkatkan literasi STEM dalam kalangan komuniti kita. Petrosains RBTX Challenge adalah sejajar dengan visi PETRONAS sebagai rakan kongsi tenaga dan penyelesaian progresif yang menyumbang impak positif kepada pihak berkepentingan, masyarakat, dan alam sekitar kita.”
Bertemakan kelestarian, pertandingan ini bertujuan menggalakkan para peserta untuk mempraktikkan dan membangunkan projek-projek yang boleh menyumbang kepada amalan hidup lestari. Ini termasuklah menangani isu-isu kritikal seperti pengurangan sisa, penjimatan tenaga, perlindungan alam sekitar, dan sebagainya.
Bagi tahun ini, Petrosains turut memperkenalkan sub-kategori baharu, “Indigenous Culture & Technology” dalam kategori Inovasi Petrosains RBTX Challenge 2024, yang melibatkan 267 peserta orang asli serta peribumi dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Usaha ini menerkankan komitmen terhadap keterangkuman dan pembangunan komuniti bagi menggalakkan mereka untuk berinovasi dan menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan.
Johan bagi semua kategori menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,500, manakala pemenang naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima RM2,500 dan RM1,500. Selain itu, Ikedo Kogeki dari Negeri Sembilan yang memenangi kategori Robo Sumo 3kg juga bakal bertanding di All-Japan Robot Sumo Tournament di Tokyo, Jepun pada Disember 2024.
Petrosains RBTX Challenge 2024 bermula pada Mei tahun ini. Peserta-peserta telah menyertai Bengkel RBTX di seluruh negara dari Jun sehingga Julai, dan seterusnya diikuti dengan pembelajaran asynchronous melalui portal RBTX sepanjang tahun. Pusingan kelayakan pula berlangsung pada bulan Ogos dan September, dengan pertandingan peringkat akhir diadakan pada 26 dan 27 Oktober 2024.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Petrosains Nik Rosmanie Bt Nik Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn. Bhd. Ezarisma Azni Mohamad.
Senarai Juara:
Kategori Inovasi:
Net Zero Carbon Emissions: SAKTI SERENE dari Johor
Indigenous Culture and Technology: SK Kampong Layau dari Johor
Kategori Robo Sumo:
500g RC: Sqandar RC dari Perak
1kg: Xenix Sumo 10 dari Selangor
3kg: Ikedo Kogeki dari Negeri Sembilan
Kategori Robo Tracer:
Green Heroes: Speedfighter dari Pahang
Tech Marvels: SLIBOT dari Melaka
Speed Rivals: Rampas Barokah dari Indonesia