Aksi Persahabatan, Malaysia Lawan New Zealand Oktober Ini
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan skuad Harimau Malaya bakal menentang negara ranking ke-94 dunia, New Zealand dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa.
Menerusi kenyataan media yang diterbitkan, skuad kendalian Pau Marti akan berdepan All Whites di Stadium North Harbour, Auckland, 14 Oktober nanti.
Malaysia lawan New Zealand Oktober ini
“Kali terakhir skuad Harimau Malaya bertemu New Zealand ialah 18 tahun yang lalu iaitu ketika skuad yang dibimbing Norizan Bakar ketika itu tewas 1-0 pada aksi persahabatan pertama di Christchurch pada 19 Februari 2006
“Harimau Malaya turut tewas 2-1 pada aksi persahabatan kedua di Auckland pada 23 Februari 2006,” kata kenyataan itu.
Menurut FAM, perlawanan tersebut akan berlangsung dalam Kalendar Antarabangsa FIFA iaitu pada 7 hingga 15 Oktober 2024.
Skuad Harimau Malaya bakal berdepan Filipina
Harimau Malaya yang berada di ranking ke-134 dunia juga berpeluang untuk memperbaiki mata ranking FIFA apabila bakal berdepan Filipina, pada aksi Pestabola Merdeka, 4 September depan.
“Jika menang ke atas Filipina, skuad yang pertama kali dibimbing Pau Marti selepas pemergian Kim Pan Gon yang meletak jawatan pada 16 Julai 2024 itu akan ke Final Pestabola Merdeka 2024 pada 8 September menentang Tajikistan (ranking 103) atau Lubnan (ranking 116),” ujar FAM menerusi kenyataan tersebut.
Bagaimanapun, skuad Harimau Malaya akan beraksi pada Penentuan Tempat Ke-3, hari yang sama jika tewas kepada Filipina.
BACA: Kes Rogol: Syed Shah Iqmal Dipenjara 10 Tahun, Tiga Sebatan
BACA: AirAsia Operasi Dari Lapangan Terbang Subang Dengan Penerbangan Pertama Ke Sabah Dan Sarawak
BACA: Olimpiad Matematik Antarabangsa: 6 Pelajar Harumkan Nama Negara, Malaysia Catat Kedudukan Kedua Antara ASEAN
Sumber: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)