korea utara remaja k-drama
Kredit BBC

Akibat Tonton K-Drama, Remaja Korea Utara Dihukum Buat Kerja Berat 12 Tahun

Syed Faisal Sayed Muhammad

Akibat Tonton K-Drama, Remaja Korea Utara Dihukum Buat Kerja Berat 12 Tahun

Dua remaja Korea Utara dikenakan hukuman kerja berat selama 12 tahun atas kesalahan menonton K-Drama.

Menurut BBC Korea, hukuman berkenaan dijatuhkan secra umum di depan ratusan remaja di sebuah stadium terbuka.

Dalam satu rakaman yang dipercayai diambil pada 2022, kedua-dua remaja berkenaan dilihat sedang digari oleh pihak berkuasa negara tersebut.

Pihak berkuasa turut dirakam memberi peringatan kepada remaja berkenaan kerana “tidak benar-benar menyesali kesalahan yang dilakukan”.

Suara latar dalam video itu juga mendakwa budaya Korea Selatan membawa pengaruh buruk kepada negara tersebut.

“Budaya buruk rejim (ditujukan kepada Korea Selatan) telah merebak kepada remaja disini.

“Mereka baru berusia 16 tahun, tetapi mereka telah merosakkan masa depan sendiri,” kata suara latar tersebut.

Rakaman yang diperolehi oleh BBC itu dianggap sebagai sangat jarang didapati kerana polisi diamalkan oleh Korea Utara.

Negara berkenaan mengharamkan sebarang gambar, video atau apa-apa bukti kehidupan di negara itu didedahkan kepada dunia.

Menurut BBC Korea, mereka memperolehi rakaman berkenaan daripada South and North Development (Sand).

Sand adalah sebuah institut penyelidikan yang bekerjasama dengan pembelot dari Korea Utara.

Menurut BBC Korea lagi, video ideologi berkenaan dipercayai diedarkan di seluruh Korea Utara untuk mendidik rakyatnya agar tidak menonton kandungan dari Korea Selatan.

Korea Utara selama ini diketahui mengharamkan rakyatnya daripada menonton kandungan hiburan, termasuk tv, yang berasal dari Korea Selatan.

Walaupun berisiko dikenakan hukuman yang berat, namun ada remaja yang sanggup mengambil risiko untuk menonton kandungan-kandungan itu, terutamanya K-Drama.

Di masa lalu, kanak-kanak bawah umur yang melanggar undang-undang berkenaan biasanya tidak akan dipenjara, sebaliknya akan dihantar ke kem buruh belia.

Hukuman yang dikenakan juga biasanya kurang daripada tempoh lima tahun.

Mereka yang menonton dan mengedar hiburan Korea Selatan boleh dihukum mati

Bagaimanapun pada 2020, Korea Utara menggubal undang-undang baharu di mana mereka yang menonton dan mengedar kandungan hiburan Korea Selatan boleh dihukum mati.

Seorang rakyat Korea Utara yang melarikan diri pernah mendedahkan dia melihat seorang lelaki berusia 22 tahun ditembak mati.

Individu itu mendakwa, lelaki berkenaan didapati bersalah mendengar muzik dan berkongsi filem Korea Selatan dengan rakannya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sand, Choi Kyong-hui berkata Korea Utara melihat penyebaran K-drama dan K-pop sebagai berbahaya dari sudut ideologi.

“Kekaguman terhadap masyarakat Korea Selatan boleh membawa kepada kelemahan sistem.

“Ini bertentangan dengan ideologi monolitik yang membuatkan rakyat Korea Utara menghormati keluarga Kim,” kata Choi.

BACA: Nak Pergi Haji Tapi Guna Duit Pinjaman? Ini Jawapan Dari Sudut Hukum

Sumber: BBC