Kita sering mendengar masalah yang berlaku akibat menggunakan servis pergigian tidak diiktiraf di negara ini, seperti pemakaian pendakap gigi palsu dan rawatan sakit gigi selain daripada pakar.
Ketahuilah bahawa masalah ini tidak hanya berlaku di negara kita, malah juga berlaku di negara maju termasuk UK. Baru-baru ini, seorang ibu dari Bristol, Clare Clark, 42 tahun telah menggunakan servis pemutihan gigi tidak diiktiraf yang dilakukan di rumah.
Clark menemui servis ini di laman Facebook dan ia ditawarkan pada bayaran yang jauh lebih murah. Beliau hanya perlu membayar £60(~RM327) berbanding £150-£200(~RM816-RM1088) jika dibuat di klinik pergigian.
Pada awalnya, segalanya kelihatan sempurna namun masalah bermula apabila beliau bangun pagi keesokan harinya. Clark mendapati bibirnya mula membengkak seperti disengat lebah.
Daily MailSemasa menjalankan rawatan berkenaan, pelindung mulut dengan gel peluntur telah dimasukkan ke dalam mulutnya. Namun, Clark mendakwa ianya tidak dipasang denngan betul.
Akibatnya, gel peluntur itu telah mengalir keluar daripada pelindung mulut dan terkena kepada beberapa bahagian mulutnya termasuk bibir.
Dalam kes-kes terpencil, gel itu boleh mengakibatkan reaksi alergik kepada pemakai yang sensitif kepada bahan tersebut dan Clark adalah salah seorang daripadanya.
Keadaan itu telah menyebabkan beliau sukar untuk makan dan bercakap, akan tetapi Clark memberitahu bahawa beliau masih pergi bekerja ketika kejadian.
Kejadian ini berlaku pada bulan Februari lalu, namun Clark hanya berkongsikan kisahnya sekarang.
Masalah yang menimpanya ini seharusnya menjadi pengajaran kepada kita semua agar tidak melakukan kesalahan sama dan sentiasa merujuk kepada pakar sekiranya ditimpa apa jua penyakit.
Ingat, wang yang dibelanjakan tidak setimpal dengan kesakitan yang terpaksa kita tanggung jika berlaku apa-apa perkara tidak diingini.
Sumber: Daily Mail