Gambar: Twitter Noor Hisham

Akaun Instagram ‘@dghisham’ Adalah Palsu – Dr. Noor Hisham

Nur Adnin

Akaun Instagram @dghisham yang dibuat atas nama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah adalah palsu.

Noor Hisham menafikan akaun itu miliknya, selain turut mendedahkan senarai beberapa nama asal akaun Instagram tersebut.

“Untuk makluman, akaun Instagram dghisham ini adalah palsu dan bukan dikendalikan oleh saya mahupun pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Dilampirkan nama-nama asal penyamar sebelum menukar nama DG Hisham,” maklumnya dalam satu kenyataan di Twitter malam tadi.

Difahamkan, akaun yang diikuti lebih 144,000 pengikut itu menggunakan pelbagai nama berbeza sejak 6 Julai 2019 seperti ibnuroslan99, _muhammad___, voice_cover_malaysia, sbp.mrsm.smka, sabk.smka, smkakeriantmua, kucingsphink, kucenviral dan terkini dghisham.

Dalam pada itu, Noor Hisham turut menjawab persoalan warganet mengenai status Instagram peribadinya yang sebenar, iaitu dg_hisham yang hanya mempunyai 5,628 pengikut setakat ini.

“Ya ini (dg_hisham) adalah akaun IG saya. Ia adalah akaun privasi dan saya tidak aktif menguruskannya.

“Sekarang saya akan uruskan Instagram tersebut macam mana saya guna Facebook dan Twitter,” tambahnya.

Sumber: Twitter Dr. Noor Hisham