
AirAsia Laksana Penyelenggaraan Pencegahan Bagi Pesawat A320 Mengikut Arahan Layak Terbang
KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) — AirAsia Aviation Group Ltd telah mula menggunakan semula perisian versi sebelum ini yang diwajibkan ke atas pesawat Airbus A320 Family bermula hari ini, selaras dengan Arahan Layak Terbang (AD) segera yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa pensijilan.
Menurut syarikat penerbangan itu, arahan berkenaan tidak memberi kesan kepada kumpulan pesawat A330 dan pihaknya mengutamakan pelaksanaan segera bagi perubahan yang diperlukan di samping menyesuaikan operasi penerbangan sekiranya perlu bagi memastikan pematuhan.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Bo Lingam berkata syarikat penerbangan itu menyasarkan untuk menyelesaikan proses berkenaan dalam tempoh 48 jam dan pada masa sama meminimumkan gangguan.
“Kami mengambil langkah segera untuk mematuhi AD ini dan berusaha menyelesaikan proses berkenaan dalam tempoh 48 jam akan datang sambil memastikan gangguan yang minimum kepada pelanggan.
“Kami memohon kerjasama dan timbang rasa daripada pelanggan memandangkan langkah-langkah yang diwajibkan ini penting untuk mengekalkan standard keselamatan operasi tertinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Laporan media yang memetik sumber Airbus memaklumkan kira-kira 6,000 pesawat di seluruh dunia mungkin terjejas dalam industri penerbangan.
Sumber: Bernama