KUALA LUMPUR, 9 Dis — airasia food, platform dalam talian penghantaran makanan AirAsia, menawarkan diskaun sehingga 50 peratus kepada peniaga terpilih dari sekarang hingga 25 Dis, 2020.
Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia berkata untuk menjadikan musim perayaan ini lebih istimewa, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Tan Sri Tony Fernandes bersama-sama skuad penghantaran makanannya akan membuat kejutan kepada para pelanggan di Lembah Klang.
Ia berkata para pelanggan hanya perlu taipkan “Ho Ho Ho” dalam ruangan arahan penghantaran pesanan airasia food mereka, dan berpeluang menerima kunjungan Tony Fernandes di hadapan pintu rumah mereka.
Sementara itu, AirAsia berkata, airasia food juga menawarkan promosi penghantaran percuma secara berkala dalam jarak penghantaran sejauh 20 kilometer.
“Pelanggan juga dapat menikmati lebih penjimatan dengan bayaran boleh dibuat dengan BIG Point,” tambahnya.
Sumber: BERNAMA