Siren amaran di Sungai Toba, Segambut Dalam telah dibunyikan disebabkan air melimpah susulan banjir kilat sebentar tadi.
Menurut Polis Kuala Lumpur, aras Sungai Gombak di Jalan Tun Razak dan Jalan Batu Bata juga turut berada dalam paras bahaya dengan trend yang semakin menaik.
Sementara itu, antara lokasi yang dinaiki air dan terjejas teruk setakat pukul 4.30 petang tadi adalah seperti di Jalan Pahang, Bulatan Pahang dan Jalan Dewan Bahasa menghala keluar.
Ia juga turut melibatkan Jalan Sultan Ismail, Bulatan Sultan Hishamuddin, Jalan Pudu, Jalan Segambut, Jalan Parlimen, Jalan Mahameru, Jalan Kinabalu, Jalan Sultan Abdul Halim dan Jalan Travers.
Berikutan kenaikan air itu, aliran trafik di kawasan-kawasan tersebut perlahan dan mengalami kesesakan.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat Kuala Lumpur yang diramal akan melanda sehingga jam 7 malam ini.
Memetik laporan Bernama, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian banjir kilat itu pada 3.51 petang.
“Terdapat seorang wanita yang berjaya dibawa keluar oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Gombak kerana kereta mangsa berada dalam arus banjir, bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan di lokasi lain.
“Keadaan air surut selepas 30 minit anggota berada di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.
Sumber: Polis KL