air selangor sukuk
Gambar: BERNAMA
Tiada Kategori

Air Selangor Terbit Suku SRI Kelestarian Bernilai RM1.5 Bilion

Fazidi

Air Selangor Terbit Suku SRI Kelestarian Bernilai RM 1.5 Bilion

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (“Air Selangor”) telah berjaya menerbitkan sukuk ke-7 serta bahagian (tranche) terbesar SRI Sukuk Kelestarian Air Selangor (“SRI Sukuk”), yang bernilai RM 1.5 bilion.

Terbitan ini terdiri daripada lima (5) siri dengan tempoh matang antara tujuh (7) hingga dua puluh lima (25) tahun dan menandakan terbitan ke-8 di bawah Program Sukuk Murabahah syarikat, yang telah meningkat kepada RM 20.0 bilion untuk menyokong objektif infrastruktur dan kemampanan jangka panjang.

Walaupun berdepan dengan pasaran yang kompetitif, dengan lambakan penerbit berpenarafan AAA dan jadual penerbitan yang padat, terbitan ini menerima permintaan pelabur yang kukuh, dengan lebihan langganan sebanyak 2.51 kali ganda dengan jumlah pesanan buku sebanyak RM3.77 bilion, mengukuhkan lagi kedudukan Air Selangor dalam pasaran sukuk.

Hasil daripada penerbitan SRI Sukuk ini akan diperuntukkan untuk membiayai projek– projek yang bersesuaian dan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta Rangka Kerja Kelestarian Sukuk Pembangunan Lestari.

Antaranya adalah projek berkaitan bekalan air lestari dan pengurusan sumber air, seperti Skim Bekalan Air Rasau dan program penggantian paip, sebagai bukti komitmen Air Selangor dalam memastikan keselamatan bekalan air untuk generasi mendatang.

Adam Saffian Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor berkata, “Lebihan langganan SRI Sukuk kami ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap daya tahan kewangan syarikat serta komitmen bersama ke arah kemajuan yang lestari.

“Ini menunjukkan permintaan yang semakin meningkat untuk pelaburan yang bertanggungjawab dan mengukuhkan kepercayaan pasaran terhadap kekuatan kredit kami.

“Dengan penerbitan SRI Sukuk ini, kami sedang memperluaskan asas kewangan dan memperkukuhkan strategi jangka panjang kami untuk membiayai inisiatif yang berimpak dan lestari.

“Pendekatan ini menyokong peranan kami sebagai ahli LUOW (Leading Utilities of the World) dan menggariskan dedikasi kami untuk memperkuat pengurusan air yang lestari.

“Setiap pelaburan menyumbang kepada pembinaan ekosistem yang kukuh, komuniti yang berkembang, dan memacu visi kami untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia menjelang 2030.

“Program Sukuk Murabahah telah disahkan semula dengan penarafan jangka panjang AAA dan prospek yang stabil oleh RAM Rating Services Berhad setakat 28 Ogos 2025, yang mengukuhkan lagi asas kredit program tersebut,” tambah Adam.

Terbitan ini dilaksanakan melalui sokongan Bank Islam Malaysia Berhad, yang bertindak sebagai Penasihat Utama, Penyusun Utama, dan Penasihat Syariah, bersama CIMB Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad sebagai Pengurus Utama Bersama (JLM).